Pua gesa pengundi bantah rancangan SPR curi undi PRU

tony pua

PETALING JAYA: Tony Pua khuatir cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggandakan jumlah pengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya Utara.

Ekoran itu, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menggesa pengundi terjejas supaya membantah cadangan yang boleh menafikan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, cadangan SPR membuktikan ia terlibat ‘mencuri kemenangan pada pilihan raya umum akan datang” demi Barisan Nasional melalui proses persempadanan semula.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, penamaan semula kerusinya kepada Damansara akan menjadikan ia bahagian pilihan raya terbesar dengan hampir 2 kali ganda pengundi iaitu lebih 150,000 daripada 85,000 sebelum ini.

Beliau menambah, Damansara akan menggantikan Kapar sebagai bahagian terbesar dan bilangan pengundi Kapar akan kurang 30%, daripada 144,159 kepada 100,456.

“Langkah yang digunakan ke atas kedua-dua kerusi ini menunjukkan sikap kurang ajar dan sewenang-wenangnya membuat persempadanan demi kelebihan BN,” kata Pua dalam satu kenyataan.

“Bagaimana SPR akan merasionalkan peningkatan sebanyak 76.2% pengundi di kawasan saya, menjadikannya bahagian terbesar di negara ini pada masa yang sama mengurangkan kawasan terbesar yang sedia ada sebanyak 30%?” soalnya.

Pua juga berkata lebih daripada 54,000 pengundi daripada kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan akan ditambah kepada kerusi semasa beliau, dipercayai langkah mengurangkan bilangan pengundi bagi kerusi itu parlimen Subang yang kini dipegang oleh PKR.

“Hanya satu sebab yang boleh disimpulkan daripada tindakan SPR. Ia demi menambah majoriti di kerusi BN yang dianggap tidak mungkin menang, di samping mengurangkan majoriti kerusi yang mana BN dilihat berpeluang menang,” katanya .

Beliau juga menyindir, perningkatan saiz bahagian sesebuah kerusi bagaimanapun tidak berlaku di kawasan pilihan raya seperti Putrajaya dan beberapa kerusi milik BN di Perak yang mempunyai antara 28,000 dan 34,000 pengundi.

“Adalah keterlaluan untuk mewujudkan kerusi besar seperti Damansara dengan lebih 150,000 pengundi berbanding kerusi lain di Semenanjung Malaysia dengan hanya segelintir kecil pengundi,” katanya.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/13/spr-syor-parlimen-dan-dun-semenanjung-kekal-sabah-tambah-13-dun/