Adenan puji keputusan pemimpin Sarawak sertai Persekutuan Malaysia

Persekutuan Malaysia

BINTULU: Penyertaan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia merupakan salah satu keputusan paling bijak yang dilakukan oleh pemimpin dan rakyat negeri itu pada 53 tahun lepas, kata Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Katanya, ketika negeri itu di bawah ancaman pengganas komunis dan konfrontasi Indonesia oleh Presiden Sukarno terhadap Malaysia, pasukan keselamatan daripada Semenanjung Malaysia yang mempertahankan negeri itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2016 peringkat kebangsaan di tapak lapangan terbang lama di sini, malam ini.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud merasmikan majlis tersebut yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

“Kami tidak mempunyai benteng pertahanan sewaktu pembentukan Malaysia pada 1963. Kami tidak mempunyai pasukan keselamatan untuk mempertahankan diri.

“Rejimen Askar Melayu dan Renjer Malaysia berjuang untuk kami dan membebaskan kami daripada cengkaman komunis dan Sukarno,” katanya.

Katanya, usaha itu harus diperakui sebagai sebahagian daripada catatan sejarah negeri Sarawak.

Walaupun Sarawak menikmati pembangunan dan kemajuan yang pesat, namun, beliau akui masih memerlukan usaha untuk merapatkan jurang pembangunan dengan negeri-negeri di Semenanjung.

“Tetapi biar kita tidak menyentuh aspek negatif. Marilah kita menghargai apa yang dilakukan setakat ini.

“Kami juga mempunyai barisan pemimpin yang memahami keperluan dan aspirasi kami terutama perdana menteri yang amat prihatin kepada kami.

“Najib melawat kami lebih 60 kali sejak menjadi perdana menteri. Beliau turut memberikan kita Projek Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Menurut Adenan, Najib perlu diberi peluang untuk membawa Sarawak dan Sabah ke arah kemajuan dan pembangunan yang lebih pesat.

“Kami memuji anda (Najib) kerana apa yang kamu lakukan. Kami berharap anda akan melakukan lebih banyak untuk kami,” kata Adenan.