Ahli akademik tidak yakin SPR buat persempadanan ikut ‘seorang satu undi’

Azmi SharomKUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mungkin menyelesaikan masalah persempadanan berdasarkan prinsip “seorang satu undi” menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata ahli akademik Dr Azmi Sharom.

Menurut pensyarah undang-undang Universiti Malaya (UM) itu, kegagalan SPR menyelesaikan masalah persempadanan secara keseluruhan menyebabkan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya sebelum ini walaupun tewas dari segi bilangan undi.

“SPR tidak begitu peka dan prihatin terhadap prinsip ‘seorang satu undi’ yang merupakan keutamaan dalam sesebuah negara demokrasi.

“Lihat sahaja pada persempadanan kawasan yang jauh bezanya. Kawasan dengan hampir 200,000 pengundi hanya satu kerusi, manakala kawasan sekecil Putrajaya juga diletakkan satu kerusi,” katanya kepada pemberita di UM petang ini.

Sebelum ini, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah akan dilaksana bermula Khamis ini.

Kajian semula itu dilaksana mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

SPR turut mengesyorkan tiada perubahan pada bilangan bahagian pilihan raya di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu.

Bagi Sabah pula, SPR mengesyorkan jumlah kerusi DUN ditambah sebanyak 13 bahagian daripada 60 berikutan pindaan peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Sabah, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhannya 73 DUN bagi Sabah.

SPR juga bercadang melakukan pindaan dan perubahan nama kepada bahagian pilihan raya kerusi Parlimen dan DUN dalam Sabah, katanya.

Butiran syor yang dicadangkan itu menunjukkan keseluruhan bahagian pilihan raya kerusi Parlimen dan DUN di Semenanjung Malaysia dan Sabah serta akan dinyatakan dalam notis yang akan disiarkan nanti.

Pautan

SPR syor Parlimen dan DUN Semenanjung kekal, Sabah tambah 13 DUN