Dewan Rakyat laksana sesi khas tanya menteri 17 Oktober

lim-lip-eng_dewan_600

KUALA LUMPUR: Parlimen bakal melaksanakan sesi khas ‘Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri’ pada sidang Dewan Rakyat akan datang yang akan bermula 17 Oktober.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata ahli-ahli Parlimen sudah diberi notis berhubung perkara itu.

“Isnin (19 September) ini akan diadakan sesi penjelasan dan simulasi di Parlimen. Kami akan diberitahu tentang prosedur untuk bertanya, masa yang dibenarkan serta cara menteri menjawabnya,” katanya kepada FMT.

Sesi khas itu salah satu daripada empat cadangan pindaan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat oleh Jawatankuasa Dewan Rakyat Mengenai Transformasi awal tahun ini.

Memetik laporan Sinar Harian 9 Mac lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata dalam sesi tersebut, menteri berkaitan akan menjawab sendiri soalan daripada ahli Parlimen.

“Soalan mesti tidak lebih seminit dan menteri pula perlu jawab hingga tiga minit sahaja,” katanya seperti dipetik.

Menurut Pandikar lagi, ahli Parlimen perlu memberikan notis 24 jam jika ingin bertanya soalan.

Ini berbeza berbanding amalan sebelumnya, apabila ahli Parlimen perlu menghantar soalan kepada Dewan Rakyat sebelum sidang bermula.

Ditanya mengenai notis 24 jam itu, Lip Eng tidak dapat mengesahkannya dan berkata “prosedur hanya akan dijelaskan pada Isnin ini”.

Tiga cadangan lain adalah pindaan berkenaan pertanyaan jawab lisan dan mewujudkan Kamar Kedua yang mendapat persetujuan Jemaah Menteri, serta cadangan Penubuhan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Baru yang ditangguhkan untuk kajian penelitian dan perbandingan.