Dr M mengadap Agong, serah Deklarasi Rakyat

mahathirtandatangan

PETALING JAYA: Semalam Tun Dr Mahathir Mohamad mengadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bagi menyerahkan 1.4 juta tandatangan mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Pertemuan itu disahkan pegawai khas Dr Mahathir, Sufi Yusof ketika dihubungi FMT.

“Beliau membawa satu set ‘dokumen’,” katanya.

Dr Mahathir pergi mengadap baginda di Istana Anak Bukit di Alor Setar, Kedah pada jam 4.30 petang dengan ditemani bekas Naib Pengerusi Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Menurut Khairuddin, bekas perdana menteri dan Agong berbincang selama satu jam 15 minit dalam pertemuan itu.

mahathirwalk

“Pertemuan itu hanya Dr Mahathir dan Agong. Perbincangan telah dilakukan bersama Agong dan kita akan maklumkan kemudian,” katanya kepada FMT.

Kali pertama Deklarasi Rakyat dibacakan kepada umum adalah pada 4 Mac lalu.

Antara lain ia menuntut Najib melepaskan jawatan bagi membuka jalan kepada reformasi proses demokrasi, dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa antara Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

“Hasrat 1.4 juta rakyat telah sampai ke tangan Agong,” kata Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin. PPBM diasaskan oleh Mahathir tahun ini sebagai persediaan untuk mencabar Umno dalam pilihan raya umum ke-14.

“Kami berjanji Deklarasi Rakyat akan dihantar kepada Agong, dan Dr Mahathir telah tunaikan janjinya,” tegasnya.