Harga rumah: Penyelidik gesa kerajaan jangan kacau daya pasaran

Azlan-Awang_loan

PETALING JAYA: Badan pemikir Blindspot mendakwa kerajaan lebih prihatin untuk membantu pemaju hartanah mengaut untung daripada memastikan rakyat mampu memiliki rumah.

Mengulas cadangan membenarkan pemaju menawarkan pinjaman perumahan pada kadar faedah yang tinggi, pengasas bersama Blindspot, Azlan Awang berkata cara itu membantu pemaju menjual rumah tanpa perlu mengalami pengurangan keuntungan yang besar, walaupun pesaran mengalami jebak (glut).

“Kerajaan tak perlu campurtangan sekiranya bersungguh mahu bantu pembeli rumah, sebaliknya benarkan daya pasaran tentukan paras harga,” katanya ketika ditemubual FMT.

“Harga rumah sepatutnya turun apabila ada lebihan di pasaran, sepertimana yang boleh disaksikan daripada jumlah unit yang tak terjual. Pemaju perlu terima keadaan itu dan terima keuntungan susut.”

Katanya campurtangan kerajaan diperlukan hanya untuk memastikan lebih ramai orang mampu membeli rumah.

Azlan mengulas pengumuman Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar baru-baru ini yang menyatakan pemaju boleh memohon lesen yang membolehkan mereka menyediakan pinjaman untuk pembeli hartanah pada kadar faedah sehingga 12% dan 18%.

Pengumuman itu mengundang kritikan daripada pelbagai pihak.

Pada Rabu, Jemaah Menteri mengarahkan kementerian supaya perbaiki dasar itu dan menerbitkan garis panduan yang jelas.

Pada hari yang sama, Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (Rehda) mendedahkan jualan rumah turun 52% pada setengah tahun kedua 2015 dan 39% lagi pada setengah tahun pertama 2016.

Persatuan itu mengalukan inisiatif kementerian dan berkata ahli bersedia menawarkan pinjaman duit muka untuk unit yang tidak terjual pada kadar faedah yang rendah.

Menurut Azlan, statistik Institut Penyelidikan Khazanah mendapati harga rumah di kawasan bandar naik tiga kali ganda sejak 2000.

“Berdasarkan tanda aras antarabangsa, rumah tidak sepatutnya berharga lebih dari tiga kali ganda pendapatan tahunan median isi rumah, yang pada 2014 sekitar RM4,500 sebulan,” katanya.

“Ketika ini, harga median rumah adalah 4.5 hingga 5.5 kali ganda lebih tinggi daripada aras dunia.”

Oleh itu, katanya, kerajaan wajar membenarkan harga turun mengikut ketentuan pasaran.

Beliau mencadangkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya memperuntukkan lebih banyak tanah untuk membina rumah mampu milik.