Larangan jual koleksi replika berbentuk senjata di Muzium PD

army

PETALING JAYA: Pihak tentera mengharamkan penjualan sebarang koleksi berbentuk senjata api atau bom di muzium tentera di Port Dickson.

Ini berikutan penahanan 2 pelancong warga Syria keluarganya oleh polis kerana memiliki bom tangan berbentuk pemetik api.

Pelancong itu dilapor membeli pemetik api di muzium tentera semasa melawatnya beberapa hari yang lalu.

NST Online memetik kata seorang jurucakap tentera yang mengesahkan pemeriksaan di premis muzium menunjukkan beberapa barangan replika tentera termasuk senapang dan sebaginya dijual oleh pihak luar di dalam perkarangan muzium.

“Muzium tentera tidak terlibat dalam penjualan barang-barang itu, yang jelas melanggar undang-undang negara.

“Bagaimanapun, kami mendapati beberapa penjual menjaja barangan cenderamata dengan reka bentuk replika peralatan ketenteraan di kawasan tempat letak kereta di luar muzium, justeru kami akan mengambil langkah untuk menghentikan perbuatan itu serta-merta,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman menahan 5 pelancong dari sebuah keluarga yang menginap di sebuah hotel di Cameron Highlands dan merampas sebuah pemetik api berbentuk bom tangan.

Keluarga itu dilapor melawat Port Dickson dan kakitangan hotel yang mereka tinggal menemui “bom tangan” di dalam beg pelancong ketika membersih bilik hotel itu.

Pelancong itu dikatakan terus merampas beg tersebut dan meninggalkan hotel itu.

Ekoran itu, polis melancarkan pemburuan terhadap pelancong sebagai langkah melumpuhkan sebarang kaitan dengan militan Negara Islam (IS).

Pautan:

KPN: Bukan bom tangan, hanya pemetik api replika