Majlis agama enggan terima alasan pindaan akta kahwin cerai ‘sulit’

Law-Reform-Marriage-and-Divorce-Act-1976PETALING JAYA: Majlis perundingan agama terkejut dengan alasan tidak diajak berdialog berhubung cadangan pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 kerana ia dibuat secara sulit.

Setiausaha Kehormat Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoism Malaysia (MCCBCHST) Prematilaka Serisena berkata, pihaknya berhak melihat pindaan akta undang-undang (perkahwinan dan perceraian) kerana ia memberi kesan kepada pasangan dan kanak-kanak apabila teman mereka memeluk agama Islam.

“Kita perlu melihat cara perkataan dalam draf itu diatur kerana perkataan seperti ‘boleh’ dan ‘hendak’ dalam ayat membawa perbezaan besar.

“‘Hendaklah’ bermakna wajib manakala jika hukuman itu menggunakan perkataan ‘boleh’, ia bermakna secara sukarela,” katanya mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Joseph Kurup.

Khamis lalu Kurup berkata, majlis agama tidak dijemput untuk berdialog berhubung cadangan draf kahwin dan cerai kerana ia dilakukan secara sulit namun, kerajaan katanya, sudah mengumpul pandangan majlis dan isu-isu yang dibangkitkan akan dibincangkan secara lanjut.

Prematilaka pula menggambarkan tindakan itu sebagai tidak masuk akal memandangkan ia melibatkan hak penjagaan, penyelenggaraan dan sebagainya.

Minggu lalu, majlis itu mencadangkan 4 perubahan kepada Akta, 2 daripadanya adalah memastikan mahkamah sivil diberi bidang kuasa terhadap kes perceraian dalam perkahwinan sivil.

Ia juga mahu meminda perkataan “ibu bapa” (parent; seorang) dalam Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan kepada “ibu bapa” (parents; kedua-dua) supaya penukaran agama kanak-kanak mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa dan bukan hanya seorang.

Majlis itu juga mahu mahkamah sivil dan bukannya mahkamah Islam yang diberi keutamaan semasa petisyen perceraian dalam perkahwinan sivil.

Turut dicadangkan, wajib bagi suami atau isteri memberi notis 7 hari sebelum sebarang penukaran agama.

Sebelum ini, anak kepada 2 ibu Hindu, S Deepa dan M Indira Gandhi dirampas oleh suami mereka yang menukar agama.

Selepas beberapa sesi bahas di mahkamah, Mahkamah Persekutuan memberi hak penjagaan anak Deepa kepada bapanya.

Dalam kes Indira, bekas suaminya masih tidak mematuhi perintah mahkamah sivil untuk memberikan hak penjagaan anak perempuan bongsu mereka kepada ibunya.

Bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 berkuatkuasa serta-merta.

Pindaan kepada akta itu akan memberi peluang kepada kedua-dua pasangan menyelesaikan isu perkahwinan sivil di mahkamah sivil.

Najib juga memberi jaminan pindaan akta itu akan meleraikan pertembungan mahkamah sivil dan mahkamah syariah, yang wujud akibat penukaran agama Islam oleh salah seorang pasangan.

Pautan:

JPM tidak bincang pindaan akta kahwin, cerai dengan majlis agama kerana ‘sulit’

Pindaan akta kahwin, cerai: Pandangan badan antara agama tidak diambil