MTUC: Majikan elak bayar gaji setimpal, tidak bertanggungjawab

Gopal-Krishnamn_ringgit_mtuc_600PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengkritik Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang menyarankan pencari kerja agar bermunasabah terhadap permintaan gaji pada waktu sukar ini.

Setiausaha Agungnya, N Gopal Krishnam mendakwa ia salah satu cara majikan mengelak daripada membayar gaji yang setimpal kepada pekerja.

“Kenyataan ini menunjukkan mereka sengaja lari daripada tanggungjawab menawarkan pekerja dengan gaji minimum atau yang lebih baik,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata majikan pada masa kini terpaksa lebih selektif berbanding waktu biasa kerana keperluan pekerja rendah selain ketersediaan calon yang ramai.

Oleh itu beliau meminta pencari kerja supaya menyesuaikan diri dengan pasaran kerja sedia ada yang semakin sukar tanpa terlalu mengharapkan gaji tinggi dan faedah-faedah yang lain.

Krishnam menjelaskan, gaji minimum harus diberikan kepada lepasan sekolah yang baru menyertai tenaga kerja manakala mereka dengan kelayakan dan pekerjaan yang lebih baik dibayar gaji lebih daripada kadar minimum semasa iaitu RM1,000 (di Semenanjung).

“Majikan perlu membayar mengikut kadar pasaran dan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab,” tambahnya.

Krishnam juga akui rakyat tempatan berada dalam situasi sukar selepas mereka tiada ruang untuk berunding hal gaji dengan majikan. Ini kerana majikan mempunyai pilihan mengambil pekerja asing menggantikan pekerja tempatan.

“Sekitar 35% daripada tenaga kerja dalam sektor swasta terdiri daripada pekerja asing. Mereka berada di sini untuk jangka masa pendek bagi menyara hidup dan pulang semula ke tanahair.

“Oleh itu, mereka menerima apa sahaja majikan berikan dan rela bekerja di bawah sebarang syarat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mendakwa permintaan untuk gaji yang lebih tinggi dikaitkan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Pada masa ini, suami dan isteri memiliki 3 pekerjaan, jadi permintaan untuk gaji yang lebih tinggi adalah wajar,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ekoran gaji yang rendah belia dan pemuda semakin berhutang.

“Pinjaman daripada bank dan Ah Long (ah long) meningkat dan akibatnya jumlah kes kebankrapan dalam kalangan belia juga meningkat,” jelasnya.

Beliau berkata penduduk tempatan tidak mempunyai sebarang ruang untuk berunding untuk gaji yang lebih baik kerana “mereka boleh diganti”.