Najib, DAP, Amanah ucap takziah kepada keluarga Haron Din

najibPETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengucapkan takziah kepada keluarga Mursyidul Am Pas Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia 10.10 pagi hari ini, selepas menjalani rawatan jantung di sebuah hospital di Amerika Syarikat.

Najib di Facebook berkata Malaysia kehilangan seorang ulama yang dihormati dan banyak berjasa kepada kesejahteraan negara.

“Secara peribadi, saya dan keluarga kehilangan seorang rakan rapat dan disayangi,” tulis Najib beberapa minit selepas Haron meninggal dunia.

Presiden Umno itu menambah walaupun landasan politik mereka berbeza, mereka ingin perkara yang serupa iaitu negara Islam yang makmur.

“Semoga roh Allahyarham Haron Din dikurniakan husnul khotimah dan ditempatkan di Al-Jannah bersama para syuhada. Al-Fatihah.”

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad turut mengucapkan takziah kepada keluarga Haron.

Katanya sukar untuk PAS mencari pengganti Haron kerana beliau seorang yang sangat dihormati dalam parti itu.

Ditanya siapakah yang layak menggantikan agamawan itu, Khalid menjawab perkara itu terletak pada pemimpin PAS.

“Mursyidul Am baharu perlu mampu tonjolkan imej Islam sebagai rahmat untuk seluruh manusia, untuk orang Islam dan bukan Islam,” katanya.

Timbalan mursyidul am ketika ini adalah Datuk Ahmad Yakob, yang juga Menteri Besar Kelantan.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata pemergian Haron mengejutkan kebanyakan ahli partinya. “Beliau seorang yang sangat dihormati dalam parti, banyak berjasa kepada pembangunan parti. Al-Fatihah.”

Pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Tony Pua turut mengucapkan takziah kepada keluarga Haron.

“DAP menzahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Dr Haron Din atas pemergian Allahyarham pagi ini,” kata Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

“Walaupun ada kalanya berbeza pendapat dari segi politik, DAP mengiktiraf peranan Allahyarham sebagai tokoh penting dalam medan politik dan dakwah negara.”

Media sosial turut dipenuhi ucapan takziah daripada penyokong PAS dan kawan-kawan yang terkejut dengan pemergian Haron.

Haron, 76, meninggalkan seorang isteri dan lima anak. Beliau awal hari ini dilaporkan berada dalam keadaan koma selepas menjalani rawatan jantung di Hospital Stanford University di San Francisco.

Mursyidul Am PAS Haron Din meninggal dunia