Pakar psikologi yakin pedofilia boleh disembuhkan

pedofiliaSHAH ALAM: Pakar psikologi sentiasa positif pedofilia atau penghidap kecelaruan seksual, mempunyai harapan untuk disembuhkan atas kemahuan dan kesedaran mereka sendiri.

Namun begitu, kemahuan dan kesedaran ini perlu disusuli rawatan berkesan dengan menghapuskan kecenderungan keinginan seksual melalui kaedah psikoterapi dan perubatan khusus.

Pensyarah Psikologi Kanak-Kanak dan Keluarga Universiti Malaysia Sabah, Aminuddin Ibrahim Lastar berkata, kesedaran pedofilia untuk berubah adalah elemen penting bagi memastikan rawatan yang diberikan berkesan.

Ini kerana, katanya, penyakit ini melibatkan rangsangan dalaman seperti fantasi erotika penghidap serta rangsangan daripada persekitaran dan kawalan diripada individu.

Jelasnya, pedofilia adalah sebahagian daripada kecelaruan seksual yang tidak normal iaitu berkaitan dengan rangsangan fantasi seksual erotika yang keterlaluan terhadap kanak-kanak untuk memenuhi kehendak seksual mereka.

Mengulas lanjut berkenaan klasifikasi pedofilia, Aminuddin berkata, faktor umur pelaku dan jarak umurnya dengan mangsa perlu dijadikan ukuran utama dan kebiasaannya pedofilia adalah dalam kalangan lelaki dewasa.

“Dalam kes tertentu, jenayah pedofilia boleh berlaku dalam kalangan remaja berusia 16 tahun yang melibatkan kanak-kanak 5 tahun lebih muda daripada mereka.

“Pedofilia boleh terangsang dan amat tertarik dengan kanak-kanak tanpa mengira jantina yang biasanya berumur dalam lingkungan 8 hingga 10 tahun,” katanya ketika ditemu bual Bernama.

Negara sebelum ini digemparkan dengan isu pedofilia apabila seorang jurufoto bebas warga British, Richard Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London pada 6 Jun lepas, kerana kesalahan pencabulan seksual ke atas 23 kanak-kanak di Malaysia serta bayi dan kanak-kanak di Kemboja dalam tempoh hampir satu dekad.

Menurut Aminuddin, antara penyebab pedofilia ialah pengalaman seksual pada usia terlalu muda sama ada secara sengaja atau tidak yang seterusnya memberikan kesan erotika mendalam, kanak-kanak yang melalui penderaan seksual serta individu yang mempunyai fantasi seks keterlaluan.

Mengenai simptom pelaku pedofilia, beliau berkata, ianya sukar untuk dikenal pasti kerana penyakit ini tidak dapat dilihat seperti seorang yang mengalami demam.

Namun begitu, katanya, pedofilia boleh dikesan melalui pelakuan mereka yang berbeza terhadap kanak-kanak berbanding individu normal seperti mempunyai kemahiran interpersonal yang baik dan mudah mesra dengan kanak-kanak.

Tambah Aminuddin, pedofilia juga boleh dilihat sering bersendirian di kawasan yang mempunyai ramai kanak-kanak seperti taman permainan.

Sehubungan itu, beliau berkata, gaya keibubapaan positif berdasarkan ketelusan, kepercayaan dan prihatin yang diterapkan dalam institusi kekeluargaan adalah amat penting bagi mengelakkan berlakunya salah laku seksual terhadap kanak-kanak.

“Kanak-kanak perlu dididik mengenai bahagian badan yang boleh dan tidak boleh disentuh serta cara sentuhan yang sesuai ke atas mereka di samping diajar teknik menyelamatkan diri daripada orang yang tidak dikenali dengan cara ‘menjerit dan lari’,” katanya.

Aminuddin juga berpendapat, jalan terbaik bagi mencegah gejala pedofilia ialah dengan memperketat undang-undang melibatkan kanak-kanak bagi mengelakkan berlakunya galakan pelakuan pedofilia secara tidak langsung.

Selain itu, beliau menambah, saringan yang ketat juga perlu dalam memilih pekerja yang terlibat secara langsung dengan kanak-kanak.

“Melalui kesedaran dan sikap prihatin masyarakat terhadap bahaya yang sering berada di sekitar kanak-kanak ini mungkin dapat membantu dalam mencegah gejala pedofilia ini daripada berleluasa,” katanya.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/10/kasi-pedofil-secara-kimia-cadang-ahli-parlimen-belia/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/06/07/ibu-bapa-perlu-lindungi-anak-daripada-pedofil-di-alam-maya/