Pantai Aceh ditutup selepas pengunjung langgar undang-undang syariah

pantai BantayanACEH: Beberapa ketua kampung di daerah kecil Seunuddon, Utara Aceh memutuskan menutup pantai Bantayan dan Ulee Matang pada minggu lalu.

Tindakan tersebut diambil setelah beberapa laporan mendapati terdapat pengunjung pantai berkenaan yang melanggar undang-undang syariah Islam.

Sebelum ini, 2 buah pantai itu dibuka pihak berkuasa tempatan sebagai pantai berasaskan syariah.

Mereka yang bukan muhrim (pasangan yang tidak sah atau bukan saudara rapat) dilarang memasuki air bersama yang mana secara dasarnya memisahkan lelaki dan perempuan menggunakan pantai tersebut.

Hanya pasangan suami isteri sahaja dibenar memasuki pantai itu secara bersama.

Memetik laporan Jakarta Post, Ketua Kampung Ulu Rubek Timu, Asnawi berkata pihaknya bersetuju dengan tindakan penutupan pantai tersebut.

Bahkan, keputusan itu turut dipersetujui Ketua Kampung Barat Ulee Rubek, Badlisyah Yahya yang menyatakan keputusan itu diambil setelah satu mesyuarat khas bersama agamawan tempatan.

“Penduduk baru sahaja menangkap 2 pengunjung yang bertindak tidak senonoh di pantai. Kami tidak dapat mengawasi mereka sepanjang masa, jadi bagi menggelakkan perbuatan tidak bermoral, kami bersetuju untuk menutup pantai itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Seunuddon Komrad Ajutan M. Ridwan berkata, polis akan menjalankan rondaan di 2 buah pantai berkenaan supaya dapat mencegah pengunjung dan penduduk tempatan memasuki kawasan berkenaan.

Aceh adalah sebuah negeri yang mengamalkan pemerintahan bersifat autonomi dan ia merupakan satu-satunya negeri di Indonesia mengamalkan undang-undang syariah.

Oleh itu, pihak pentadbiran Aceh boleh mengambil tindakan berasaskan undang-undang Islam.