Persempadanan semula: Dulu PKR sokong, sekarang bantah, kata Umno

Hazali-Abu-Hassan_zuraida-kamaruddin_600PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pemuda Umno perlekeh kenyataan seorang pemimpin PKR yang disifatkan sebagai cuai dalam mengkritik persempadanan semula kawasan pilihan raya Sabah.

Ahli Exco Pemuda Umno Datuk Hazali Abu Hassan berkata Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin bersikap melulu apabila cuba mewajarkan penganjuran tunjuk perasaan Bersih akan datang dengan mengecam persempadanan semula yang sedang berjalan ketika ini.

Memetik laporan media, Hazali berkata lapan daripada 12 wakil rakyat pembangkang Dewan Undangan Negeri Sabah menyokong cadangan menambah 13 kerusi DUN baharu kepada 60 kerusi sedia ada.

“Nampaknya beliau tak sedar wakil rakyat pembangkang, termasuk daripada partinya juga, menyokong penambahan jumlah kerusi negeri. Melucukan,” katanya dalam temubual bersama FMT.

Katanya Zuraida menunjukkan ahli politik pembangkang tidak sedar apa yang berlaku dalam parti mereka.

“Jelas sekarang parti pembangkang tidak tahu apa yang disokong atau yang tidak disokong oleh ahli parti mereka.”

Bonero Post Ogos lepas melaporkan cadangan persempadangan semula mendapat sokongan 55 daripada 60 Adun Sabah. Tiga orang membantah dan satu berkecuali. Seorang lagi tidak hadir.

Merujuk kepada tunjuk perasaan Bersih November depan, Hazali soal: “Adakah ini bermakna Pakatan mahu bantah diri sendiri?”

Dalam kenyataannya, Zuraida berkata BN secara tidak langsung menjual Malaysia kepada warga asing yang akan “membawa kad pengenalan Malaysia” sewaktu hari pengundian kelak.

Beliau merujuk kepada dakwaan pengundi hantu dibenarkan membuang undi.

Berkenaan dakwaan itu, Hazali berkata Ahli Parlimen Ampang cuma mahu memburukkan imej BN. “Jelas beliau kehilangan idea, hingga terpaksa mengeluarkan kenyataan tidak sensitif itu, terutamanya menjelang Hari Malaysia.”

Zuraida menjawab kecaman Hazali ketika dihubungi FMT. Katanya PKR tidak bantah persempadanan semula, tetapi membantah pengendalian “sembarangan” langkah itu.

“Tidak ada formula yang wajar diberikan, seolah-olah Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan persempadangan semula itu sesuka hati,” katanya.

“Jadi apa formula? Berdasarkan jumlah pengundi atau keluasan kawasan?

“Mengikut apa yang diumumkan, banyak kawasan dicipta dan ia mengubah demografi pengundi. Pengundi cina ditempatkan dalam satu kawasan yang BN yakin mereka tak akan peroleh undi Cina manakala pengundi Melayu yang masih menyokong Umno ditempatkan dalam kawasan lain.

“Kerusi campuran nampaknya makin berkurangan sekarang ini.”