Zika: Saintis gesa dunia bersedia hadapi wabak kepala rencat

zikaPETALING JAYAL: Dunia harus bersedia menghadapi ‘wabak’ microcephaly, iaitu keadaan yang merencatkan tumbesaran kepala janin, ketika virus Zika menular ke negara baru, kata penyelidik hari ini.

AFP melaporkan saintis Brazil dan British temui bukti baharu yang menunjukkan Zika penyebab gangguan itu, kaitan yang diterima umum dalam kalangan pengamal perubatan.

Dalam kajian yang dijalankan keatas kelahiran baharu di Brazil — negara yang paling teruk dilanda wabak — hampir separuh daripada 32 bayi yang mengalami microcephaly mempunyai kesan virus Zika dalam darah atau cecair serebrospinal (air tulang belakang), lapor kumpulan itu.

Tiada seorang daripada 62 bayi yang lahir dengan kepala normal diuji positif Zika dalam darah.

‘Perkaitan ketara’ itu, tulis penyelidik dalam jurnal The Lancet Infectious Diseases, mendorong mereka untuk “menyimpulkan wabak microcephaly disebabkan jangkitan kongenital virus Zika (sejak lahir)”.

Sekiranya betul kesimpulan itu, “kita perlu bersedia menghadapi penularan wabak microcephaly ke semua negara yang mengalami penjangkitan virus Zika dan ke negara-negara yang kemungkinan besar virus itu akan tersebar,” menurut mereka lagi.

“Kami saran…kita bersedia menghadapi wabak sejagat microcephaly dan manifestasi sindrom bawaan Zika yang lain.”

Melalui kajian keatas kelompok terkawal, penyelidik mendapati 80% wanita yang melahirkan bayi yang mengalami microcephaly dijangkiti Zika semasa mengandung — berbanding 64% ibu yang melahirkan anak yang sihat.

Zika merupakan virus yang tersebar melalui nyamuk, tetapi dalam kes tertentu melalui seks.

Lebih 1.5 juta orang dijangkiti Zika, terutamanya di Brazil, dan lebih 1,600 bayi dilahirkan mengalami microcephaly sejak tahun lalu, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).