Baju Merah buat laporan polis terhadap Bersih, Maria Chin

Ariffin Abu BakarPETALING JAYA: Satu laporan polis dibuat terhadap pemimpin Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah kerana menyeru orang ramai berhimpun untuk tunjuk perasaan Bersih 5 19 November depan.

Laporan itu dibuat oleh gerakan Baju Merah. Ketua Penerangannya Ariffin Abu Bakar menggesa tindakan tegas diambil terhadap Maria kerana menghasut orang ramai supaya berhimpun dan melakukan tindakan yang menurutnya boleh menggugat ketenteraman awam dan keamanan.

Beliau mengambil keputusan untuk membuat laporan polis selepas menyaksikan rakaman video dalam talian sidang media Bersih 2.0, menurut Star Online. Katanya Maria secara terang-terangan menyebarkan dakwaan palsu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya bimbang tindakannya akan mencemar imej negara kita,” katanya dipetik, selepas membuat laporan polis di Ampang Jaya.

Katanya beliau membantah tunjuk perasaan Bersih 5 kerana ia boleh mencetuskan huru-hara, menggugat ekonomi dan menjejaskan aktiviti pelancongan.