Bukan kami yang potong babak Jesus, kata LPF

Abdul Halim Abdul HamidPETALING JAYA: Bukan Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang potong babak Jesus Christ dalam filem versi baharu Ben-Hur yang ditayangkan Khamis.

Pengerusinya, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata mungkin penerbit menyerahkan versi lain untuk diluluskan.

Ditanya sama ada babak itu dikeluarkan, beliau berkata “mungkin, tetapi bukan kami yang lakukannya, barangkali penerbit yang lakukan semasa menghantar filem itu ke Malaysia, mungkin mereka tahu ada sensitiviti tertentu”, menurut laporan Malay Mail Online.

Abdul Halim berkata adakala pembikin filem menghasilkan versi berbeza untuk tayangan di rantau berbeza.

Beliau yakin lembaga tidak mengeluarkan babak yang memaparkan Jesus dan seingatnya tidak pernah tonton babak tersebut. “Saya yakin, saya tak ingat saya nampak Jesus dalam filem itu,” katanya seperti dipetik.

Penonton membantah saringan itu. Seorang pengguna Facebook, Jasmine Sia berkata dia rasa tertipu. Menurutnya versi tempatan tidak memaparkan Rodrigo Santoro, pelakon yang memainkan watak Jesus.

Pengedar filem tempatan United International Pictures Malaysia berkata pihaknya patuhi garis panduan dan undang-undang tempatan dan mengakui edisi tempatan tidak sama dengan edisi negara lain, menurut laporan itu lagi.

Filem itu menceritakan seorang putera Yahudi yang dituduh khianat dan dijadikan hamba abdi. Beliau menjadi seorang penunggang kereta kuda dan semasa melawat Baitulmaqdis menyaksikan Jesus memikul salib ke Calvary lalu memberi air.

Filem 1959 itu yang dihasilkan Cecil de Mille dan Charlton Heston sebagai watak utama, secara umumnya diangkat sebagai salah satu filem terbaik dalam sejarah, malah lumba kereta kuda dalam filem itu menjadi sebahagian daripada budaya pop Amerika Syarikat. Filem itu menang 11 Anugerah Akademi.

Versi baharu filem itu bagaimanapun tidak mendapat ulasan yang memberangsangkan dan dianggap gagal, sekadar meraih AS$66 juta berbanding bajet AS$100 juta.