Catuan air Mersing dilanjutkan sehingga 15 Oktober, kata syarikat air Johor

Catuan air MersingJOHOR BAHRU: SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJ) mengumumkan lanjutan bekalan air berjadual di Mersing mulai semalam sehingga 15 Oktober depan.

SAJ dalam kenyataan menerusi laman web, www.saj.com.my memberitahu, langkah melanjutkan bekalan air berjadual berkenaan berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Mersing dan LRA Tenglu masih tidak berupaya membekalkan air terawat yang mencukupi.

“Bagi memanjangkan tempoh penyimpanan bekalan air, pihak SAJ terpaksa mengambil langkah untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air mentah itu dengan melanjutkan perancangan bekalan air berjadual sedia ada bermula 16 Sept hingga 15 Okt 2016,” menurut kenyataan itu.

Menurut SAJ, langkah itu merupakan yang terbaik boleh diambil bagi memastikan pengguna dapat merancang sebaiknya penggunaan air mereka.

“Sekiranya keadaan paras air bertambah baik, maka pembatalan serta merta operasi bekalan air berjadual ini akan dilaksanakan.

Jika sebaliknya, maka jadual baharu akan dimaklumkan kepada pengguna,” menurut kenyataan itu lagi.