Dadah, kad kredit punca rakyat Malaysia dipenjara di Thailand

drug_card_jail

BANGKOK: Lebih 90% daripada 455 rakyat Malaysia yang sedang meringkuk di penjara Thailand disebabkan kesalahan berkaitan dadah.

Setiausaha Kedua (Konsular) Kedutaan Malaysia di Thailand, Halmah Hassa berkata, sebahagian kecil rakyat Malaysia dipenjarakan di Thailand membabitkan kesalahan berkaitan kad kredit.

“Seramai 196 rakyat Malaysia ditahan di 5 penjara sekitar Bangkok dan 7 penjara lain di beberapa wilayah utara, manakala 259 orang lagi ditempatkan di beberapa penjara wilayah selatan Thai,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang ditahan di penjara Thailand itu berdepan pelbagai hukuman, termasuk hukuman mati, penjara seumur hidup dan penjara beberapa tahun.

Halmah berkata, walaupun berdepan hukuman mati, ia akan dikurangkan kepada penjara seumur hidup dan tempoh itu juga akan dikurangkan lagi, jika pesalah berkelakuan baik ketika di penjara.

Tujuh daripada 196 rakyat Malaysia yang ditahan di Bangkok dan wilayah utara adalah wanita, iaitu 5 orang di Pusat Pemulihan Wanita, Chatuchak dan 2 lagi di Penjara Wanita Chiang Mai.

Katanya, pejabat konsular kedutaan negara di Bangkok menguruskan hal ehwal 196 tahanan rakyat Malaysia di penjara Bangkok dan utara ibu negara Thailand itu.

Antara penjara di Bangkok yang banyak menempatkan tahanan Malaysia adalah Penjara Reman Bangkok (30), Bambat Piset (40), Klong Prem (34) dan Bangkhwang di Nonthaburi (51).

Pejabat Konsulat Malaysia di Songkla pula menguruskan hal ehwal tahanan negara di 13 wilayah di selatan Thai.

Halmah berkata, pejabat konsular di kedutaan negara di Bangkok itu juga melakukan lawatan berkala ke atas semua tahanan Malaysia bagi mengetahui keadaan terkini dan kebajikan mereka.

Katanya, lawatan itu dibuat kerana mendapati layanan diterima tahanan negara lebih baik, jika mereka kerap menerima kunjungan pihak konsular.

“Jika ada tahanan Malaysia di Chiang Mai yang terletak ribuan kilometer di utara Thailand, kita juga akan melawat mereka.

“Kami juga melakukan tindakan tertentu, termasuk berhubung dengan pihak berkuasa penjara, sekiranya menerima aduan daripada tahanan Malaysia dan pihak Thai amat responsif terhadap aduan diterima,” katanya sambil menambah ia adalah sebahagian daripada tugas sebagai pegawai konsular.

Menurut Halmah, pejabat konsular di kedutaan negara turut menerima permohonan tahanan Malaysia mahu dipindahkan ke penjara di selatan Thai bagi memudahkan keluarga mereka melawat.

Beliau berkata, bagi tahanan Malaysia yang akan dibebaskan dari penjara Thai, pihaknya juga akan mengeluarkan surat dan dokumen perjalanan bagi membolehkan mereka kembali ke tanah air.