Farmasi perlu bantu pihak berkuasa kawal Zika, kata pengarah kementerian

PharmacistGEORGE TOWN: Ahli farmasi boleh memainkan peranan dalam mendidik orang awam tentang bagaimana untuk mengelakkan jangkitan virus Zika, kata Pengarah Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan, Dr Salmah Bahri.

Beliau berkata, ahli farmasi dapat membantu Kementerian untuk menangani jangkitan virus Zika dengan mendidik orang ramai mengenai kebersihan kerana vektor itu sama dengan denggi.

“Kita perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa dan kementerian lain untuk mengawal Zika,” kata beliau pada sidang media selepas perasmian Konvensyen Hari Farmasi Sedunia Antarabangsa oleh pengerusui Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin, di sini hari ini.

Beliau berkata, ahli farmasi komuniti memainkan peranan di barisan hadapan untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan rakyat di peringkat awal.

Dr Salmah berkata ahli farmasi boleh membantu mengenal pasti dan menangani pelbagai faktor risiko kesihatan sebelum ia akhirnya menular menjadi penyakit dan menimbulkan komplikasi.

Ketika mengulas mengenai Rang Undang-undang Farmasi yang baharu, Dr Salmah berkata, ia masih di peringkat penggubalan dan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan berkaitan sektor farmasi.

Sekarang kita sedang mengkaji semula dan menggubal semula dan perlu menghantarnya kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan dan mereka akan membuat keputusan muktamad. Kita belum menghantarnya kepada Jabatan Peguam Negara, ia masih di peringkat penggubalan,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Dr Salmah berkata sehingga 31 Ogos tahun ini, ada 14,442 ahli farmasi berdaftar di Malaysia tetapi hanya 10,511 ahli farmasi memperbaharui Sijil Amalan Tahunan pada 2016 melipuiti 62.87 peratus ialah dalam sektor awam manakala 37.13 peratus dalam sektor swasta.

“Terdapat 3,080 ahli farmasi yang memegang lesen A (runcit) untuk 2,445 komuniti farmasi termasuk 288 daripada mereka memegang lesen (borong). Sejumlah 823 ahli farmasi yang lain terlibat dalam pelbagai bidang amalan farmasi seperti dalam pembuatan, kawal selia dan akademik,” katanya.