Hamba seks IS jadi duta muhibah PBB

nadia-syria23_01

NEW YORK: Seorang bekas hamba seks IS dilantik sebagai duta muhibab untuk maruah mangsa penyeludupan manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Nadia Murad Basee Taha, 23, yang menuntut keadilan buat mangsa lain kumpulan militan itu, mahu serangan ke atas Yazidi pada 2014 dilabelkan pembunuhan beramai-ramai.

Gadis Yazidi itu diculik dari kampungnya di Kocho, dekat Bandar Sinjar di utara Iraq, pada Ogos 2014 dan dibawa ke Mosul yang berada di bawah penguasaan IS, di mana beliau dirogol secara berkumpulan dan dijual beli berkali-kali.

“Saya digunakan mengikut kehendak mereka. Saya tidak bersendirian.

“Mungkin saya bernasib baik. Masa berlalu dan saya temui jalan untuk melarikan diri, tetapi beribu-ribu lagi masih ditawan,” katanya dalam satu majlis yang diadakan di ibu pejabat PBB.

Sehubungan itu, beliau menggesa kira-kira 3,200 wanita Yazidi yang masih dijadikan hamba seks pejuang IS supaya dibebaskan dan penculik terbabit dihadapkan ke mahkamah.

“Ketakutan sebenar saya ialah apabila Is dikalahkan, militan dan pengganas Is akan cukur janggut mereka dan berjalan di bandar seperti tiada apa yang berlaku.

“Kita tidak boleh biarkan ini berlaku,” katanya.

Nadia berharap wanita Yazidi yang dijadikan hamba seks pejuang IS boleh menjadi saksi di mahkamah antarabangsa The Hague dan memberitahu dunia mengenai penyeksaan yang mereka lalui.

Sebagai duta muhibah, Nadia akan berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat dunia terhadap nasib mangsa pemerdagangan orang, terutamanya pelarian, wanita dan kanak-kanak.

Beliau yang diwakili peguam antarabangsa, Amal Clooney berkata, IS perlu bertanggungjawab terhadap jenayah berat itu.

“Kita tahu apa yang berlaku ialah pembunuhan beramai-ramai dan kita tahu ia masih berterusan.

“Saya malu, sebagai manusia, kita abaikan rayuan mereka untuk mendapatkan bantuan,” kata Clooney.

Ketika pemimpin dunia berkumpul untuk Perhimpunan Agung tahunan PBB minggu depan, Iraq dan Britin akan melancarkan kempen mendesak kebertanggungjawapan terhadap jenayah dilakukan IS, pada Isnin ini.

Nadia dan Clooney akan menghadiri pelancaran kempen itu bersama Setiausaha Luar Britain, Boris Johnson.