Kalau boleh kuasai SPR, Umno juga boleh menang PRU

PONTIAN: Dakwaan pembangkang mengenai persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berat sebelah dan mahu memenangkan Umno serta Barisan Nasional (BN) hanya untuk memburukkan parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Razali Ibrahim berkata, niat pihak pembangkang ialah mahu menimbulkan keraguan dan menyemai dalam minda rakyat untuk percaya kerajaan menguasai badan bebas itu.

“Saya nak ulang balik, kalau kita boleh kuasai SPR, jangankan risau pada persempadanan semula, kita juga boleh menang pilihan raya,” katanya sinis selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pontian hari ini.

Timbalan menteri di jabatan perdana menteri itu berkata, dakwaan pembangkang itu bermula sejak dahulu lagi.

“Mereka (pembangkang) timbulkan persoalan ini untuk menimbulkan perasaan tidak enak kepada rakyat dan masyarakat yang akhirnya tidak percaya kepada kerajaan.

“Bila mula tidak percaya kepada kerajaan, mereka (rakyat) akan bertindak menolak wakil BN pada pilihan raya yang akhirnya undi tersebut akan berpihak kepada pembangkang,” katanya.

Ahli Parlimen Muar itu juga berkata, bukan sahaja pembangkang, tetapi mana-mana pihak boleh mengemukakan bantahan jika tidak berpuas hati dengan proses persempadanan semula yang sedang dijalankan.

Razali berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam yang mendakwa persempadanan semula bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berat sebelah bagi memastikan Umno kekal berkuasa.

Selain itu, Lim mendakwa persempadanan semula Pagoh bermotifkan politik dan mahu membunuh karier politik bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila jumlah pengundi di sana dikatakan berkurangan berbanding pilihan raya lalu.

SPR mula mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah selama sebulan, bermula Khamis lalu hingga 14 Oktober ini.

Menurut SPR, bantahan mesti sampai kepada badan itu dalam masa sebulan bermula dari 15 September lalu hingga 14 Oktober ini.

Pautan:

Kit Siang minta SPR jelaskan kerusi lebih 100,000 pengundi

Ahli akademik tidak yakin SPR buat persempadanan ikut ‘seorang satu undi’