Kenapa polis tidak tahan Ali Tinju, soal DAP

Teo-Nie-Ching_ahli-tinju_polis_600

PETALING JAYA: Polis dikritik tidak mengambil tindakan terhadap Mohd Ali Baharom yang membuat ugutan keganasan terhadap Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Timbalan Setiausaha Penerangan DAP, Teo Nie Ching mempersoalkan polis kenapa masih belum menahan Ali Tinju.

“Kata-katanya (tidak akan berjalan di atas bumi) sama dengan ugutan bunuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Teo berkata, ketua Gerakan Baju Merah itu seolah-olah sedar ugutannya adalah satu perbuatan jenayah, kerana beliau pernah berkata tidak kisah menghabiskan lebih 10 tahun di dalam penjara.

Bekas anggota tentera itu membuat ugutan itu pada Rabu lalu, selepas Maria mengesahkan perhimpunan Bersih 5 akan diadakan pada 19 November ini.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata, Maria adalah rakyat Malaysia dan berhak mendapat perlindungan undang-undang serta hidup bebas daripada ketakutan, keganasan dan penderaan.

Beliau membandingkan tindakan segera diambil polis terhadap seorang mahasiswa, wanita mengandung dan warga emas yang membuat kenyataan negatif terhadap Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pada 2012, seorang pelajar universiti ditahan selepas didakwa membuat ugutan mengebom helikopter dinaiki perdana menteri.

Julai lalu, seorang lelaki warga emas ditahan kerana berkongsi satu gambar disyaki menghina Najib, disusuli 14 anggota polis serta pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerbu rumah seorang wanita hamil kerana mengeluarkan kenyataan mengenai Rosmah, bulan lalu.

Teo berkata, tindakan polis mendiamkan diri tidak boleh dimaafkan dan ia sama dengan menggalakkan “samseng seperti Ali Tinju” untuk bertindak sesuka hati.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/14/tunggu-dan-lihat-amaran-ali-tinju-pada-maria-chin/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/15/ali-tinju-kurang-siuman-ugut-maria-chin-pkr-lapor-polis/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/15/polis-digesa-siasat-ugutan-tak-jalan-di-bumi-ali-tinju-terhadap-maria/