Kumpulan pelajar lapor polis ugutan Ali Tinju

MariaPETALING JAYA: Satu laporan polis dibuat terhadap Ali Tinju oleh gerakan pelajar berhubung ugutan terhadap Pengerusi Gabungan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih 2.0 (Bersih 2.0) Maria Chin.

Presiden Barisan Pelajar Bersatu Asheeq Ali berkata laporan dibuat kerana gerakan itu bimbang akan keselamatan Maria.

Katanya: “Ali Tinju buat laporan polis terhadap Jamal Yunos (pemimpin gerakan Baju Merah) pada Mei tahun ini selepas dia ancam untuk menyerangnya. Saya buat perkara yang sama kereana saya bimbang keselamatan seorang wanita yang pertahan hak rakyat Malaysia.”

Ali dilaporkan berkata Maria “nanti tidak akan berjalan di atas bumi” selepas beliau mengumumkan himpunan Bersih 5 akan diadakan di Kuala Lumpur 19 November.

“Ini merupakan suatu ugutan jenayah,” kata Asheeq dipetik sebagai berkata. “Ini tindakan pengecut dan melanggar undang-undang.”

Beliau membuat laporan itu di balai polis Dang Wangi ditemani Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan bekas pemimpin Umno bahagian, Datuk Khairuddin Abu Hassan.

Khairuddin menyifatkan kenyataan Ali Tinju sebagai “merbahaya” dan mengingatkan bekas tentera itu supaya menghormati kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan. “Ini bukan negara koboi. Kita ada perlembagaan, kita ada undang-undang. Jangan sembarangan buat ancaman,” katanya, menurut laporan Star Online.