DAP gesa Noh Omar lupakan cadangan pemaju beri pinjaman rumah

Yeo-Bee-Yin_noh-omar_house

PETALING JAYA: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu melupakan cadangan membenarkan pemaju hartanah menyediakan pinjaman perumahan kepada pembeli dan memfokuskan keperluan membina rumah mampu milik.

Penasihat Strategi Media Sosial DAP, Yeo Bee Yin mempersoalkan cara Tan Sri Noh Omar akan mencapai sasaran membina 653,000 rumah mampu milik menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) menjelang 2020 atau purata 130,000 rumah setiap tahun.

Dalam satu kenyataan media semalam, Yeo turut meminta maklum balas kementerian itu terhadap laporan kumpulan pemikir kerajaan, Institut Penyelidikan Khazanah pada tahun lalu mengenai perumahan mampu milik.

Beliau berkata, laporan itu menekankan masalah pemaju tidak responsif terhadap permintaan pasaran dan mencadangkan kajian dijalankan terhadap perumahan di seluruh negara dan mewujudkan pangkalan data bagi memastikan bekalan dapat memenuhi permintaan.

Laporan itu turut menyarankan perubahan dilakukan terhadap sistem penghantaran industri pembinaan yang tidak seragam.

Adun Damansara Utama itu berkata, skim pinjaman yang dicadangkan Noh dikritik ahli politik kerajaan dan pembangkang serta agensi penarafan antarabangsa, Fitch Ratings.

“Sudah tiba masanya untuk Noh Omar merendah diri dan mengumumkan pembatalan rancangan itu,” katanya yang mempersoalkan bagaimana seorang menteri boleh mengumumkan dasar penting tanpa mengkaji idea itu secara menyeluruh terlebih dahulu.

Yeo berkata, ahli Parlimen Tanjong Karang itu yang baharu dilantik ke Kabinet tiga bulan lalu, tidak sepatutnya mencadangkan dasar tidak dirancang secara terperinci hanya kerana beliau beria-ia menunjukkan prestasinya.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/14/jemaah-menteri-arah-cadangan-noh-omar-dikaji-semula/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/11/cadangan-noh-belum-dibawa-ke-kabinet-kata-tpm/