Ribuan orang hadiri solat jenazah ghaib Haron Din di Shah Alam

harondinsoalt11211

SHAH ALAM: Lebih 1,000 umat Islam menyertai solat jenazah ghaib untuk Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia di San Francisco, Amerika Syarikat, semalam.

Solat jenazah ghaib anjuran PAS Pusat itu diadakan di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, pada jam 9.20 pagi tadi yang diimamkan cucu Haron, Hakim Hamdi.

Turut hadir ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad; Presiden Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos turut menyertai solat jenazah ghaib itu.

Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah dipenuhi orang ramai seawal 8 pagi tadi bagi ‎menunaikan solat jenazah ghaib berkenaan.

Terdahulu, lebih 100 umat Islam di Arau menunaikan solat jenazah ghaib untuk Haron yang dianjurkan PAS Perlis di Madrasah Addiniah Al-Islamiah, Kampung Jejawi Dalam, pada jam 6.20 pagi tadi dengan diimamkan Abdullah Sabu.

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi Jumaat (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, akibat komplikasi jantung.

solt1

Jenazah mursyidul am PAS itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, 1761 Laughlin
Road, Livermore, California, pada jam 5.57 petang Jumaat waktu tempatan (8.57 pagi Sabtu waktu Malaysia), selepas selesai solat jenazah yang diimamkan anaknya, Hamdi di Masjid An Noor Santa Clara, San Francisco.

Anak jati Perlis dari Kampung Behor Mali itu meninggalkan isteri, Datin Khadijah Md Salleh serta dua anak lelaki dan tiga anak perempuan.

Dalam pada itu, Hadi berkata, jasa dan pengorbanan Haron dalam menyebarkan ilmu Islam perlu dijadikan contoh oleh umat Islam.

Katanya, Haron adalah seorang yang gigih menyebarkan ilmu Islam dan kehilangannya amat dirasai.

“Sudah tentu kehadiran orang ramai yang jumlahnya besar hari ini dalam menunaikan solat jenazah ghaib, tentunya mendapat perkenan doanya.

“Kita harap semangat Haron boleh diambil dalam menghayati usahanya menyebarkan ilmu Islam,” katanya ketika menyampaikan tazkirah selepas solat jenazah ghaib itu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, Haron ialah tokoh agama yang dihormatinya dan pemergian beliau sememangnya dirasai.

“Walaupun beliau seorang ahli politik dan mursyidul am PAS, tetapi beliau juga banyak memberi nasihat kepada saya ketika berjumpa dengannya. Kita harap Haron akan ditempatkan di kalangan orang soleh,” katanya.

Pautan:

Mursyidul Am PAS Haron Din meninggal dunia