Twitter saya tidak digodam, kata Jeff Ooi

Jeff-OoiPETALING JAYA: Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dilaporkan nafi akaun Twitter miliknya digodam, selepas dikritik kerana kenyataan berkaitan kematian bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

Beliau dilapor mengatakan “Adios Harun Din. Let there be peace” di Twitter pada Jumaat, mencetuskan bantahan kerana dianggap biadab.

Awal hari ini, beliau memberitahu FMT: “Saya tidak lihat ada isu mengenai kenyataan itu. Cuba pergi lihat di laman Twitter dan Facebook saya.

“Laman itu adalah kerja photoshop dia orang. Saya hanya akan memuat naik status menerusi laman Facebook rasmi saya.”

Kemudian, dalam satu kenyataan yang dipetik The Star Online beliau berkata: “Saya punyai kawalan penuh ke atas maklumat yang mengalir melalui Facebook dan Twitter saya, yang boleh diperiksa dalam talian. Sumber lain bukan daripada saya.”

Beliau juga dilapor berkata: “Saya daripada industri IT (teknologi maklumat). Saya tahu akaun Twitter saya tidak pernah digodam. Saya punyai kawalan penuh. Noktah.”

Beliau menjelaskan tiada niat untuk perkecilkan Haron atau keluarganya, cuma mahu menyampaikan selamat tinggal kepada Haron.

Jelasnya beliau membuat kenyataan itu semasa berkongsi twit orang lain, dan kemudian menyingkirkan komen orang itu dan membuat twit baharu, yang tertulis: “Received a personal call a while ago. So… Farewell. Let there be peace.”

Antara yang mengkritik Ooi adalah Ketua Penerangan Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari yang menggesa ahli Parlimen itu supaya memohon maaf kepada keluarga Haron dan menarik balik kenyataannya.

Beliau berkata ini bukan kali pertama Ooi membuat kenyataan biadab. Beliau berkata Ooi pernah menggunakan “kucing kurap” terhadap kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang pada 2013. Pengerusi DAP ketika itu, Karpal Singh menegurnya di Konvensyen DAP Pulau Pinang 2013.

Haron Din, 76, meninggal dunia kerana masalah jantung pada Khamis semasa dirawat di Hospital Stanford University di San Francisco, Amerika Syarikat. Beliau dikebumikan pada hari Jumaat.

Pautan:

Itu kerja ‘photoshop’ pihak lain, kata Jeff Ooi