Walau sakit, Haron Din tak pernah tolak permintaan pesakit

DarussyifaBANGI: Pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa’), Datuk Dr Haron Din tidak pernah menolak permintaan merawat pesakit, walaupun ketika beliau kurang sihat disebabkan masalah jantungnya kebelakangan ini.

Ahli Jawatankuasa Darussyifa’, Abd Rashid Ahmad berkata, ia adalah antara kelebihan mursyidul am PAS itu yang berusaha memperkenalkan rawatan Islam kepada rakyat negara ini dan memartabatkannya di mata dunia.

“Beliau (Haron) seorang yang tidak pernah kata ‘no’ jika diminta merawat. Haron akan berusaha semampunya untuk merawat pesakitnya dengan kelebihan ilmu dimilikinya.

“Sebagai insan biasa, Haron ada kelemahan. Namun, beliau sentiasa beri sumbangan tanpa mengira waktu. Cuma muktahir ini beliau kurang sihat, tetapi tetap bersemangat merawat pesakitnya,” katanya kepada FMT di Pusat Rawatan Darussyifa’, Bandar Baru Bangi, semalam.

Darussyifa’ ialah pusat rawatan Islam terkenal di kalangan penduduk Bangi dan orang Islam yang menjadikannya alternatif untuk menyembuh penyakit, selepas menerima rawatan di klinik dan hospital.

Darussyifa’ menggunakan ayat al-Quran, hadith dan doa untuk merawat mereka yang sakit daripada segi fizikal dan rohani, termasuk pesakit diganggu makhluk halus.

Darussyifa’ ditubuhkan pada 17 April 1988 dan diluluskan pendaftarannya setahun kemudian.

Selain memberi rawatan, Haron selaku pengasas dan penasihat Darussyifa’ turut menjadi tempat rujukan orang ramai menghadapi pelbagai masalah untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Beliau turut mengadakan kelas rawatan Islam seminggu sekali di Darussyifa’ sehingga mampu melahirkan lebih 6,000 graduan.

Sehingga kini, Darussyifa’ menubuhkan lebih 65 pusat rawatan di seluruh negara, termasuk 13 kelas pengajian hampir di setiap negeri.

Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi Jumaat (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Beliau dimasukkan ke hospital itu bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantungnya. Jenazah Haron akan dikebumikan di San Francisco hari ini.

Peringatan Haron tidak akan dilupakan

Rashid berkata, antara pesan terakhir Haron ialah jika ingin berbakti dalam rawatan Islam, mereka perlu ikhlas dan amanah, serta keyakinan merawat perlu dibina sejak awal, iaitu sebelum memulakan rawatan.

“Apabila berjaya merawat pesakit itu, maka kejayaan itu akan menjadi penambah keyakinan,” katanya.

Rashid juga kagum dengan sikap bertanggungjawab dan usaha Haron dalam ilmu perubatan Islam sehingga menyaksikan Darussyifa’ diiktiraf kerajaan.

“Tok Guru (Haron) ini yang saya nampak dia bukan sahaja pendakwah, tetapi beliau juga memberi kursus dalam perubatan Islam.

“Hari ini, apa kita nampak dia meletakkan Darussyifa’ diterima orang ramai dan diiktiraf Kementerian Kesihatan,” katanya.

Pautan:

Mursyidul Am PAS Haron Din meninggal dunia

Hadi Awang: Haron Din merupakan generasi awal PAS