6 bomba dikejar ke hospital, keletihan pikul 5 tan sodium

bomba

IPOH: Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal dan meneutralkan kebocoran gas klorin di sebuah kilang memproses produk kloralkali di Kampung Baru Bukit Merah, Menglembu semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahaya Madis berkata, 12 anggota Pasukan Khas Tindakan Bahan Berbahaya (Hazmat) turut terlibat dalam operasi berkenaan.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu kira-kira 12.03 tengah hari sebelum anggota bomba bergegas ke lokasi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.58 petang,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Yahya berkata, dalam operasi itu 6 anggota bomba dikejarkan ke hospital akibat keletihan selepas memikul 5 tan sodium bagi meneutralkan gas klorin berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, semua anggota berkenaan berada dalam keadaan stabil dan hanya seorang masih mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi Sabtu, sebuah tangki yang mengandungi asid ferik jatuh dan pecah sehingga menyebabkan bahan cecair itu bercampur hipoklorit pada paip dan seterusnya menghasilkan gas klorin.

Menurut Yahya, gas klorin boleh merebak dengan cepat di udara menyebabkan anggota bomba memerlukan kemudahan sesuai untuk mengangkat sodium berkenaan dengan kadar segera.

“Bagaimanapun, foklif di kilang tidak dapat digunakan selepas kunci jentera itu gagal ditemui.

“Tanpa melengahkan masa, anggota bomba mengangkat sendiri sodium setiap satu paket seberat 25 kilogram dan semua yang diangkat adalah 5 tan sehingga mereka keletihan tambahan lagi cuaca panas,” katanya.

Yahaya berkata, kejadian berkenaan turut menyebabkan 2 pekerja kilang mengalami sesak nafas dan dihantar ke hospital serta klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.