Bangkok tidak mahu lepaskan Xavier Justo pulang, lapor media Swiss

xavier-justo-1PETALING JAYA: Kerajaan Thailand didakwa enggan melepaskan pembocor emel dan dokumen transaksi 1MDB, Xavier Justo pulang ke Switzerland atau ke Malaysia.

Dia dijangka kekal di Thailand untuk menghabiskan baki tempoh pemenjaraan kurang dari setahun atas tuduhan memeras bekas majikannya, PetroSaudi International. Beliau dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun pada 2015.

Menurut media Switzerland, Thailand menolak permohonan pemerintah Swiss yang memohon Justo dipulangkan ke negara asalnya dan menghabiskan baki tempoh pemenjaraan di sana, malah Bangkok juga enggan menghantarnya ke Malaysia.

Media berkenaan, Le Temps, memetik sumber yang mendakwa keputusan dibuat selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memohon supaya Justo tidak dihantar pulang.

Ia juga mendakwa keputusan itu menjejaskan hubungan diplomatik antara Switzerland dan Thailand.

Tahun lalu Justo dilaporkan cuba menjual emel dan dokumen tersebut kepada penerbit media The Edge pada harga RM2 juta dalam satu urusniaga yang membabitkan editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown.

The Edge dan Sarawak Report memberi liputan meluas ke atas tansaksi 1MDB, mendakwa penipuan dan penggelapan berbilion ringgit daripada pinjaman dan pelaburan berkaitan 1MDB.