Lelaki pekak, bisu maut dirempuh kereta api

deaf

TUMPAT: Seorang lelaki bisu dan pekak maut selepas dirempuh kereta api ketika melintas landasan untuk ke sebuah kedai makan berdekatan rumahnya di Kampung Berangan Hujung di sini, hari ini.

Dalam kejadian 9.40 pagi itu, mangsa Wan Zain Wan Ab Rahman, 55, tidak menyedari ada sebuah kereta api sedang melalui landasan tersebut.

Akibat kemalangan itu mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan kaki selepas diseret sejauh kira-kira 40 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, DSP Mazuki Mat mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

Adik tiri mangsa, Che Rahmah Abdullah, 40, ketika ditemui di tempat kejadian, berkata mangsa sentiasa dinasihati supaya berhati-hati sekiranya mahu ke kedai makan berdekatan kerana perlu melintasi landasan kereta api tersebut.

Sementara itu, Pengurus Wilayah Timur Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Zaid Ibrahim berkata ketika kejadian, pemandu tren sudah memberi isyarat dan membunyikan hon tetapi mangsa yang cacat pendengaran tidak menyedarinya.

Beliau berkata kereta api terbabit adalah Tren Eastern Holiday iaitu khusus untuk musim perayaan.

“Ekoran kejadian tersebut menyebabkan perjalanan tergendala hampir sejam setengah.

“Kita berharap orang ramai jangan menceroboh landasan sesuka hati kerana boleh mendatangkan bahaya. Keluarga mangsa sepatutnya lebih berwaspada dengan keadaan itu tambahan pula mangsa adalah OKU (orang kelainan upaya),” katanya.

Beliau berkata mana-mana pihak yang menceroboh landasan kereta api boleh didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

“Sejak Januari hingga hari ini, terdapat tiga kes kemalangan maut mangsa dirempuh kereta api di negeri ini,” katanya.