KUALA LUMPUR: Malaysia mengulangi gesaan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya menggunakan pelbagai kaedah untuk mewujudkan keamanan dan mempengaruhi pendirian pihak berkaitan bagi menyelamatkan usaha penyelesaian berasaskan 2 negara terhadap konflik Israel-Palestin.
Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ramlan Ibrahim berkata, PBB sebagai badan diamanahkan untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa hendaklah mengambil tindakan segera yang efektif bagi menghentikan aktiviti penempatan haram oleh Israel kerana ia meniupkan sentimen radikal dan membangkitkan kemarahan di kalangan penduduk Palestin di wilayah terbabit.
Beliau berkata, ia bukan satu pilihan untuk Majlis Keselamatan PBB tidak mengambil sebarang tindakan.
“Kita harus menghalang Israel meneruskan dasar penindasan. Kita tidak harus membenarkan rayuan kita tidak diambil peduli. Oleh itu, kita harus mempunyai keberanian untuk meluahkan suara hati kita yang ‘luka’.
“Dalam usaha memastikan masyarakat antarabangsa terus memberi perhatian kepada isu ini, Malaysia bersama anggota majlis yang sependirian bercadang mengadakan mesyuarat ‘Formula-Arria’ pada Oktober, dengan memfokuskan isu penempatan haram ini,” katanya.
Mesyuarat ‘Formula-Arria’ adalah pertemuan tidak formal dan secara peribadi, dengan anggota Majlis Keselamatan diberi kelonggaran dari segi prosedur untuk bertukar pendapat secara berterus-terang dengan pemberi taklimat bukan daripada PBB.
Ramlan berkata demikian pada mesyuarat Majlis Keselamatan mengenai ‘Situasi di Timur Tengah termasuk soal Palestin’ di New York, Amerika Syarikat pada Khamis lalu. Teks ucapannya dihantar kepada Bernama, semalam.
Malaysia mengalu-alukan mesyuarat ‘Quartet-Plus’ di New York, sebagai susulan Persidangan Antarabangsa peringkat menteri di Paris, Jun lepas dan terus menyokong inisiatif Perancis melengkapkan usaha Quartet Timur Tengah.
“Kami menaruh harapan tindakan konkrit diambil pihak berkenaan yang disokong masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan semula ruang lingkup politik bagi penyelesaian berasaskan 2 negara.
“Kekejaman yang dilakukan pihak berkuasa Israel terhadap rakyat Palestin merupakan percubaan mematahkan semangat mereka dan menyebabkan kehidupan mereka di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, menderita supaya mereka akhirnya meninggalkan wilayah tersebut.
“Kami berdiri teguh dan bersedia melibatkan diri secara membina dengan anggota majlis yang lain dalam hal ini,” katanya.