Cadangan SPR bakal akibatkan polarisasi kaum, kata Izzah

nurul-izzah

PETALING JAYA: Persempadanan semula yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Khamis lalu bakal mengakibatkan polarisasi kaum di Malaysia, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Menurut beliau sejumlah besar pengundi Melayu dialihkan ke kerusi tradisi Umno manakala pengundi bukan Melayu dipindahkan ke kerusi pembangkang.

“Kebanyakan kerusi majoriti Melayu menyaksikan peningkatan pengundi Melayu seperti Gombak dan Selayang sebanyak 3%, Petaling Jaya Selatan 5% dan Hulu Langat 10% yang juga menyaksikan penurunan 10% pengundi Cina.

“Di Lembah Pantai pengundi Melayu bertambah 10% sementara pengundi Cina turun 8%. Begitu juga di Titiwangsa.

“Pengundi Cina dipindahkan ke Puchong yang menyaksikan peningkatan 10% pengundi Cina, Klang 10% dan Segambut 8%.

“Majoriti di Petaling Jaya Utara diramalkan akan ada lebih 50 ribu pengundi,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Tian Chua menegaskan sebarang perubahan ke atas kawasan pilihan raya melibatkan masa depan negara dan jika tidak ditangani dengan betul akan mewujudkan masalah perkauman yang ketara.

“Pada 1999 berlaku peralihan undi orang Melayu kepada pembangkang, maka langkah penentuan sempadan baharu diambil untuk mewujudkan lebih banyak kerusi campuran. BN menang dalam pilihan raya itu tetapi pembangkang dapat merapatkan kedudukan.

“BN mungkin menggunakan cara seperti itu untuk menewaskan pembangkang, tetapi apa kesannya sekiranya pembangkang menang?

“Ini bukan lagi mengenai menang atau kalah, tetapi Malaysia jenis apa yang sedang mereka hasilkan? Seperti Lubnan?” soal Tian.

Selain PKR, parti komponen BN turut tidak berpuas hati dengan cadangan persempadanan ini. MCA hari ini dilaporkan berkata cadangan penentuan sempadan baharu dikhuatiri mewujudkan wilayah majoriti Melayu atau wilayah majoriti Cina di beberapa kawasan.

“Langkah pemprofilan kaum seperti ini sangat merbahaya jika ia diwarta dan dilaksanakan. Masa depan kita akan dilihat seolah pengundi Melayu lawan pengundi bukan Melayu,” kata Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng.

SPR baru-baru ini mengumumkan untuk melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Tanah Melayu dan Sabah bermula pada 15 September.

Cadangan perubahan keatas kawasan pilihan raya di Tanah Melayu dan Sabah akan disiarkan kepada orang awam sehingga 14 Oktober.

Kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi dalam kumpulan sekurang-kurangnya 100 orang boleh membangkitkan bantahan.

PAUTAN:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/18/sempadan-baharu-spr-wujudkan-wilayah-melayu-cina-kata-presiden-mca/