Raja Petra reka cerita, kata Khairuddin

khairuddin-mahathir-raja-petra

PETALING JAYA: Raja Petra Kamarudin didakwa memalsukan perkara yang berlaku dalam pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Yang di-Pertuan Agong, kata penyokong setia bekas perdana menteri itu.

Raja Petra menyifatkan pertemuan itu “satu bencana” buat bekas perdana menteri, apabila Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah secara tersirat mempersoalkan kesahihan 1.4 juta tandatangan dalam deklarasi untuk menyingkirkan perdana menteri.

Beliau mendakwa Agong juga didakwa merujuk kepada spekulasi Dr Mahathir pada Mei lalu yang baginda serta sultan “diletakkan di bawah tahanan rumah” oleh kerajaan persekutuan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Raja Petra adalah penipu.

Katanya, beliau yang menemani Dr Mahathir ke Istana Anak Bukit di Alor Setar tidak tahu apa yang berlaku, bagaimana Raja Petra yang tinggal di luar negara boleh tahu isi kandungan perbincangan mereka.

“Pertemuan hari itu hanya antara Yang di-Pertuan Agong dan Mahathir, tiada orang lain.

“Saya pun tidak tahu butiran perbincangan. Saya boleh jamin tiada orang lain tahu apa yang dibincangkan,” katanya sambil menambah amat melucukan Raja Petra yang tinggal di Britain tahu setiap perkataan dalam perbincangan itu.

Sehubungan itu, beliau mencabar Raja Petra kembali ke tanah air dan bersemuka dengannya.

“Apa sahaja anda mahu kata, buatlah secara bersemuka, seperti saya lawan Najib Razak,” katanya.

Bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan itu dipecat selepas menyertai kempen Dr Mahathir menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden Umno dan perdana menteri.

Beliau dan bekas pembantu Dr Mahathir, Matthias Chang ditahan selepas cuba membuat laporan di luar negara mengenai Najib dan 1MDB.

Jumaat lalu, Raja Petra melalui satu artikel di Malaysia Today berkata, Dr Mahathir agak “terkejut” apabila Agong mempersoalkan jika beliau boleh menjamin kesahihan 1.4 juta tandatangan dalam Deklarasi Rakyat.

Beliau berkata, Dr Mahathir akhirnya menjawab “selepas sejenak” yang “ini diberikan kepada baginda”.

Dalam satu lagi artikel semalam, Raja Petra berkata, Dr Mahathir hanya membawa Deklarasi Rakyat ditandatangan secara terbuka oleh 45 ahli politik dan beberapa aktivis.

Dr Mahathir hanya membawa “satu sampul kecil tidak mengandungi 1.4 juta tandatangan didakwa” yang boleh menjadi satu dokumen “setebal sebuah dan mungkin beberapa jilid ensiklopedia”.

Pautan:

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/18/dr-m-hanya-serah-45-tandatangan-kepada-agong-kata-raja-petra/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/16/dr-m-mengadap-agong-serah-deklarasi-rakyat/