Sempadan baharu SPR wujudkan wilayah Melayu, Cina, kata presiden MCA

liow-andy-keen

PETALING JAYA: Perubahan kawasan pilihan raya yang dicadangkan boleh membawa kepada dominasi satu-satu kaum di sesetengah kawasan, menurut Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beberapa kerusi majoriti Melayu akan mempunyai lebih ramai orang Melayu, manakala kawasan pilihan raya majoriti Cina akan mempunyai lebih ramai orang Cina.

“Ini tidak sihat untuk masyarakat pelbagai kaum, ia akan mendorong ke arah menjadi negara teokrasi,” katanya dipetik.

Tiong Lai berkata kawasan pilihan raya yang sihat harus mempunyai komposisi kaum yang pelbagai.

Pemimpin MCA akan bermesyuarat pada Selasa depan untuk meneliti cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menamakan dan menentu sempadan baharu kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara.

Timbalannya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata partinya mengarahkan semua 85 bahagian melaporkan kesan penentuan sempadan baharu.

Ka Siong mengepalai jawatankuasa pemandu pilihan raya MCA yang sedang bersiap sedia untuk pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Gerakan turut mempertikaikan penentuan semula sempadan itu kerana keutamaan nampaknya diberikan kepada dominasi kaum, bukannya campuran kaum yang seimbang.

“Semenanjung Malaysia kini berdepan keadaan di mana etnik Melayu menguasai parti pemerintah, manakala minoriti termasuk orang Cina, hampir semuanya pergi kepada pembangkang.

“Keadaan itu tidak membantu keharmonian antara etnik,” kata Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong.

Pada pilihan raya umum 2008 dan 2013, MCA selaku parti Cina dan Gerakan menunjukkan prestasi merudum, tewas kepada calon DAP dan PKR.

Cadangan perubahan ke atas kawasan pilihan raya di Semenanjung Malaysia dan Sabah dipamerkan kepada umum sehingga 14 Oktober.

Kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi dalam kumpulan sekurang-kurangnya 100 orang boleh mengemukakan bantahan.

PAUTAN:

Cadangan SPR bakal akibatkan polarisasi kaum, kata Izzah