Jualan ‘raksasa’ Singapura makin hilang bisa

Singapore-Great-Sale

SINGAPURA: Selepas 22 tahun, peniaga di sebalik pesta jualan besar-besaran “Jualan Raksasa Singapura” (GSS) kini akur ia semakin hambar dan perlu dinilai semula.

Ini ekoran penurunan dalam jualan runcit sejak 3 tahun berturut-turut selain gagal menarik penduduk tempatan mahupun pelancong walaupun diraikan dengan pelbagai tawaran dan pilihan yang bermula lebih awal daripada tempoh yang dijadualkan.

GSS atau Singapore Great Sale berlangsung selama 10 minggu pada tahun ini bermula Jun hingga pertengahan Ogos berbanding 8 minggu tahun lepas dan hanya 6 minggu sebelum ini.

Penganjur GSS dan Persatuan Peruncit Singapura (SRA) berpendapat sudah tiba masanya untuk membincangkan hala tuju acara tahunan tersebut dengan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) memandangkan trend jualan yang semakin lembap.

The Straits Times memetik kenyataan Presiden SRA R. Dhinakaran, sudah tiba masanya memutuskan sama ada meneruskan akan mengubah format GSS.

Peruncit dan pakar ekonomi menyimpulkan situasi ini berpunca daripada ekonomi perlahan di dalam dan luar negara, dengan rekod GSS yang turun 3% pada bulan Jun dan Julai ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pensyarah kanan di Pusat Pengajian Perniagaan di Universiti SIM, Dr Jimmy Wong akui GSS sudah hilang makna dan perlu dijenamakan semula dengan satu tujuan supaya pelanggan tidak bosan.

Pengarah Eksekutif Persatuan Perniaga Orchard Road, Steven Goh juga sehaluan dengan Jimmy supaya penjenamaan semula GSS dilakukan.

Jelasnya, ia perlu mengambil kira waktu rakyat Singapura berada di dalam negara iaitu bukan pada bulan Jun di mana ramai melancong ke luar ekoran cuti sekolah. “GSS juga boleh diadakan 2 kali, sekali untuk rakyat Singapura dan satu lagi untuk menarik pelancong,” katanya.

Beliau juga meminta peruncit bersepakat dengan penjimatan tawaran terbaik yang dikhususkan untuk GSS.

“Dengan cara itu, ia akan menjadi satu acara yang benar-benar berkesan,” katanya yang mendedahkan peningkatan trend jualan di luar tempoh GSS.

Manakala, ahli akademik pemasaran dari Universiti Kebangsaan Singapura, Prem Shamdasani berkata saingan serantau dan pertumbuhan e-dagang sebagai punca kegagalan GSS.

Bagi peruncit, walaupun GSS diadakan dalam keadaan tidak stabil ia masih diperlukan.

Pengurus kedai pakaian Stussy di Cathay Cineleisure Orchard, Nelson Ng, berkata diskaun 30% hingga 50% tidak memberi banyak kesan kepada jualan. Namun, beliau percaya GSS boleh memberi manfaat kepada kedai-kedai yang dikunjungi pelanggan tradisional yang tidak biasa membeli-belah secara talian.

Perniagaan jenama konsep gaya hidup seperti DOT, bagaimanapun melihat kenaikan dalam jualan dengan 12% peningkatan pada Julai.

Grace Chen, pengurus pembangunan perniagaan berusia 29 tahun, pelanggan yang membesar dengan GSS, masih menghargai jualan itu.

“Ia masih jualan yang terbesar di Singapura, dan saya lebih suka untuk melihat dan menyentuh perkara-perkara fizikal sebelum membeli mereka, dan bukannya membeli-belah secara talian,” ujarnya.