Syiah persoal prejudis agamawan Malaysia

Mohd-Kamilzuhairi-Abd-Aziz

KUALA LUMPUR: Walaupun Syiah diiktiraf mazhab kedua terbesar dalam Islam dengan pengikut ramai di beberapa negara Islam, lain pula nasib pengikut aliran itu di Malaysia.

Ia susulan tentangan yang dihadapi pengikut Syiah daripada pihak berkuasa agama tempatan.

Pada 1996, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa Syiah menyeleweng daripada Islam dan mengharamkan umat Islam Malaysia mengamalkannya.

Ini ditambah dengan propaganda, terutama daripada pihak berkuasa, menyebabkan mereka menerima pandangan serong masyarakat Islam lain.

Serbuan demi serbuan dilakukan, dan media tidak sunyi memaparkan Syiah daripada sudut negatif.

Lari dari realiti

Bagi pemimpin Syiah Malaysia, Mohd Kamilzuhairi Abd Aziz, usaha anti-Syiah pihak berkuasa hanyalah cubaan lari daripada kenyataan mengenai kewujudan Syiah termasuk di negara ini.

“Ia sekadar suara sumbang untuk memaksa diri dan orang lain agar tidak menerima realiti di depan mata, dan akan terabai begitu sahaja,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Katanya, tekanan terhadap pengikut Syiah – sama ada di Malaysia ataupun di negara luar – boleh “memakan diri” kerana ia mendatangkan simpati orang ramai terhadap mereka.

“Ia mendedahkan kepincangan pihak yang agresif dan ganas, apatah lagi keganasan menjadi fokus kebencian global pada masa kini,” katanya lagi.

Kamilzuhairi pernah ditangkap beberapa kali sekitar 2011-2014, termasuk dalam acara sambutan ulang tahun kelahiran Fatimah Az-Zahra, puteri Nabi Muhammad, di Sri Gombak pada 24 Mei 2011 dan pada 22 April 2014.

Ia susulan Jawatankuasa Masyarakat Awam Syiah Imamiyyah (Ja’fari) yang dipimpin Kamilzuhairi tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Pada 18 Ogos lalu, Timbalan Mufti Kedah, Sheikh Marwazi Dziyauddin dilaporkan menggesa kerajaan menambahbaik Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) – yang digubal untuk mengekang keganasan – agar dapat digunakan bagi menyekat penyebaran Syiah di negara ini.

Harapan Syiah di Malaysia

Kamilzuhairi berkata beliau sentiasa berharap pengikut Syiah di Malaysia dapat bersama-sama dalam masyarakat arus perdana.

“(Untuk) berganding bahu dengan masyarakat yang lain, khasnya umat Islam, untuk usaha bagi kemaslahatan umat dan negara, serta mengekang unsur negatif yang memporak-porandakannya.

“Sudah tentu tanggapan keliru perlu diperbetulkan dan persefahaman diwujudkan,” katanya yang pernah menuntut di Universiti Antarabangsa Al-Mustafa di Qom, sebuah bandar yang menjadi pusat pengajian ilmu tersohor di Iran.

Qom juga menjadi tempat menuntut ilmu tokoh Islam aliran Syiah, termasuk ulama dan ahli falsafah Ayatullah Murtadha Mutahhari, antara pelopor revolusi Islam Iran pada 1979.

‘Ekstremisme tanpa keganasan’

Bagi Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS) Prof Syed Farid Alatas, kekangan dan tanggapan negatif terhadap Syiah di Malaysia bermula sekitar era 1990-an.

“Dahulu saya berkahwin dengan isteri saya, seorang warga Iran, di Johor, dan jabatan agama ketika itu tiada masalah. Sekarang (jika anda Syiah), disuruh bertaubat dan sehingga tidak boleh menjadi wali (pernikahan anak).

“Masyarakat dunia bertanya apa sudah jadi kepada Malaysia, yang dahulu dianggap contoh negara majoriti umat Islam yang moderat,” katanya pada seminar “Islam tanpa Sektarianisme” anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) minggu lalu.

Farid menyifatkan keadaan itu “ekstremisme tanpa keganasan” yang kurang diberi perhatian.

“Ia adalah idea eksklusivisme yang mengasingkan golongan yang dilihat terlalu berbeza dengan kita, dan dibiarkan merebak kerana tidak membawa ancaman (fizikal),” katanya, dan menambah keadaan diburukkan oleh ahli politik yang mengeluarkan kenyataan bernada sedemikian untuk mendapatkan sokongan.

Selepas Syiah, Sufi pula

Farid kecewa majoriti umat Islam di Malaysia yang bermazhab Sunni hanya berdiam diri melihat penindasan terhadap Syiah.

“Syiah adalah mangsa pertama, sekarang (sasarannya) gerakan Sufi pula,” katanya.

Majlis Fatwa Kebangsaan pada 3 April 2000 menfatwakan Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah sebagai menyimpang daripada Islam.

Namun isu tariqat kembali diperkatakan selepas acara zikir seperti yang diketuai ulama Indonesia, Habib Syekh Abdul Qadir Assegaf dan dihadiri pemimpin kerajaan, mula popular beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, bekas Murshidul Am PAS Datuk Dr Haron Din juga tidak melarang zikir sambil menari yang lazim diamalkan golongan Sufi, dengan syarat ia tidak melibatkan percampuran lelaki dan wanita atau mempunyai unsur maksiat, seperti yang dilaporkan lidah rasmi PAS Harakahdaily pada 2 Julai 2013.

Farid berkata sikap terhadap Syiah lebih bersifat politik dan menjaga sokongan masyarakat Islam pada pilihan raya.

“Jika majoriti berkata tidak akan bertoleransi dengan diskriminasi terhadap Syiah, kerajaan akan mengubah pendirian mereka untuk menjaga undi,” kata Syed Farid lagi.

Sementara itu, Kamilzuhairi berkata umat Islam yang ingin mendapatkan maklumat tentang Syiah mencarinya daripada ilmuan mazhab itu sendiri, bukan daripada pihak berkuasa dan agamawan yang prejudis.

“Adalah keliru untuk belajar daripada mereka yang sedia prejudis terhadap mazhab ini, sedangkan Syiah ada ribuan ilmuan dan cedekiawan yang boleh dirujuk termasuk di Nusantara ini.”

PAUTAN:  

Agamawan ‘jadong’ masih kuasai institusi agama Malaysia

Syiah tetap Islam, kata mufti Pulau Pinang