Selepas dibeku, warga Bangladesh dan Nepal masuk guna pas pelajar

bangladesh-passport

PETALING JAYA: Di sebalik pembekuan pekerja asing oleh kerajaan, warga Nepal dan Bangladesh masih dibawa masuk ke negara ini sebagai “pelajar”.

Menurut laporan The Sun, ejen “perunding pendidikan” membawa masuk beribu lelaki daripada kedua-dua negara menggunakan visa pelajar tetapi sebaik tiba di sini, mereka dibawa bekerja sebagai pekerja bergaji rendah dalam sektor pembuatan, pembinaan dan perladangan.

Akhbar itu memetik sumber, seorang pekerja Bangladesh di kedai perabot di Shah Alam yang mengaku tiba di sini menggunakan visa pelajar 3 tahun lalu.

Dia yang berusia 24 tahun enggan namanya disiarkan, mendapat pas pelajar untuk 6 bulan selepas mendaftar di sebuah pusat bahasa untuk kursus yang dia sendiri tiada butiran lanjut.

Kelas untuk kursus tersebut hanya sekali seminggu dan dia hadir 3 kali kemudian diberitahu bebas bekerja atau belajar di Malaysia.

Seperti kebanyakan warga Bangladesh, lelaki itu juga memilih untuk bekerja, selagi dapat mengumpul lebih banyak wang.

The Sun juga memetik sumber dari industri pembinaan yang akui penggunaan visa belajar sebagai amalan biasa membawa masuk warga asing dari kedua-dua negara itu.

Katanya, dalam satu serbuan di sebuah tapak pembinaan mereka baru-baru ini mendapati kebanyakan daripada 200 pekerja asing yang dikumpul menggunakan visa pelajar dan visa profesional.

Tambah sumber itu lagi, rakyat asing ini dibawa masuk menggunakan visa pelajar walaupun mereka tidak dapat membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris.

Ini kontra dengan undang-undang Kementerian Sumber Manusia, di mana pelajar antarabangsa ke Malaysia mesti pandai bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris.

Dalam pada itu, jurucakap dari Jabatan Imigresen memberitahu penyalahgunaan pas pelajar 6 bulan lazim berlaku terutamanya di institusi dengan sejumlah pelajar asing yang mengambil kursus bahasa, petik akhbar itu.

Tambahnya, akhbar Bangladesh turut melapor agensi di Bangladesh memancing golongan muda-mudi di negaranya menerusi pakej “bekerja sambil belajar” dengan bayaran 220,000 taka (RM11,600) seorang.

Salah seorang mangsa yang terjerat dalam penipuan itu ialah Ariful Hasan daripada Khilgaon, tiba di Malaysia untuk belajar di sebuah “akademi antarabangsa”, tetapi berakhir menjadi “buruh” oleh “majikannya” di sini.

Seorang lagi pelajar, Sohag Kabir menjadi mangsa penipuan pakej yang sama apabila ejen dari Bangladesh itu menjanjikan pekerjaan dengan gaji 50,000 taka (RM2,600) sebulan, untuk kerja 5 hingga 6 jam sehari di Malaysia.

Beberapa “pelajar” tertipu dengan pakej itu terpaksa menerima hakikat bekerja sambilan selama bekerja 12 jam atau lebih setiap hari demi survival hidup, kata laporan itu.

Undang-undang imigresen di Malaysia membenarkan pelajar asing bekerja sambilan untuk tempoh maksimum 20 jam seminggu, dengan syarat mereka mempunyai dokumentasi dan kelulusan yang sah.