Indonesia tahan kapal Malaysia, disyaki bawa 30 tan bahan bom

bombaindon

DENPASAR: Pihak berkuasa Indonesia di pulau pelancongan Bali menahan sebuah kapal dari Malaysia pada Khamis yang membawa kira-kira 30 tan baja yang polis percaya untuk menghasilkan bom.

Polis dan kastam sedang menyoal anak kapal dan menyiasat bahan untuk mencari kaitan dengan jaringan pelampau ketika negara majoriti Islam terbesar di dunia itu berwaspada menghadapi serangan militan.

Pegawai polis Bali Hendra Suhartiyono berkata pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada bahan yang diangkut dalam perjalanan ke pulau Sulawesi, rantau yang dikenali dengan serangan militan.

“Kita tidak menolak kemungkinan bahan kimia ini…mungkin untuk kegunaan kumpulan pengganas di Sulawesi untuk menghasilkan bom impak rendah dan impak tinggi,” katanya.

Militan yang paling dikehendaki pemerintah Indonesia, yang dikenali sebagai Santoso, dibunuh anggota keselamatan di Sulawesi awal tahun ini.

Santoso, yang mengisytihar taat setia kepada IS, membina jaringan pelampau yang kecil di sekitar Poso, yang dilemahkan oleh operasi keselamatan yang berpanjangan.

“Pada saat ini anak kapal disiasat secara rapi mengenai bahan letupan ammonium nitrat yang diangkut, dibawa dari Malaysia,” kata pegawai kastam Bali Thomas Aquino.

“Mereka akui kapal disewa untuk membawa bahan ke Sulawesi. Mereka sangka bahan dalam karung adalah baja. Kami akan menahan anak kapal terbabit untuk diproses secara sah.”

Indonesia menyaksikan serangan militan pertama sejak beberapa tahun lalu pada Januari, dan empat orang terbunuh dalam kejadian itu. IS mengaku bertanggungjawab ke atas serangan senjata api dan bom di Jakarta itu.

Bulan lepas, pihak berkuasa pertingkat keselamatan di Bali susulan laporan mengesyaki militan merancang serangan ke atas pulau itu.

Pada 2002, 202 orang terbunuh, kebanyakannya warga Australia, dalam satu serangan ke atas sebuah kelab malam di pulau itu. Serangan mencetuskan tindakan keras pihak berkuasa seluruh negara.