SPR dilarang bertemu parti pembangkang selama 1 bulan

Tan Kok Wai

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat pembangkang pulang daripada pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membincangkan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya pulang dengan tangan kosong.

Malah mereka tidak dibenarkan masuk Pejabat Pilihan Raya Negeri Wilayah Persekutuan hari ini, walaupun kunjungan itu sudah dimaklumkan, menurut Ahli Parlimen DAP Tan Kok Wai.

“Kami kecewa. Kami sudah maklumkan kunjungan ini, yang berhasrat untuk mendengar penjelasan mengenai cadangan persempadanan semula dan mengambil peta persempadanan baharu untuk kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan.

“Pada awalnya kami diberitahu kunjungan kami tidak akan diterima secara rasmi, tetapi kami boleh melawat (secara tidak rasmi) untuk mendapatkan maklumat,” katanya kepada pemberita di sidang media di ruang legar Menara TH Selborn.

Ketika berada di sana, kumpulan itu dimaklumkan mengenai larangan pertemuan antara parti politik dan SPR selama 1 bulan sepanjang cadangan persempadanan sedang berlangsung.

Ini menyebabkan kumpulan itu percaya badan pemantau pilihan raya itu bergerak mengikut arahan kerajaan Barisan Nasional.

“Nampaknya BN bukan sahaja menggunakan persempadanan untuk manfaatnya, tetapi juga SPR nampaknya diperalat untuk menafikan hak wakil rakyat Pakatan Harapan untuk meneliti cadangan persempadanan itu,” dakwa Kok Wai.

Pengarah Pilihan Raya Amanah Dr Hatta Ramli bersetuju dengan kenyataan Kok Wai itu, dan mengkritik larangan 1 bulan yang dilihatnya berlawanan dengan tanggungjawab SPR kepada rakyat.

“Pelanggan SPR adalah orang awam dan parti politik berdaftar, umumnya sesiapa sahaja yang prihatin akan isu berkaitan pilihan raya.

“Sekiranya kakitangan keselamatan berkata SPR tidak mahu bertemu (mengenai persempadanan), bagi saya itu tidak adil kerana kami perlukan semua maklumat berkaitan supaya kami boleh meneliti dan membantah (persempadanan),” kata Dr Hatta.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata kejadian ini bukan kali pertama mesyuarat pembangkang dan SPR dihalang. Bahkan, mereka cuba bermesyuarat dengan SPR untuk beberapa kali sebelum ini namun tidak berjaya.

Beliau menggesa penduduk di semua kawasan pilihan raya terkesan supaya membantah cadangan itu, dan menghadiri himpunan Bersih 5 pada 19 November depan, supaya “seruan menuntut keadilan didengari”.

Beliau menambah: “Sertai kami menghantar petisyen dan merayu Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan SPR, dan mewujudkan satu suruhanjaya siasatan diraja yang akan membawa kepada sistem pembahagian daerah pilihan raya yang objektif, bebas dan demokratik.”