Zaid ulangi pendirian hina orang agama bukan hina Islam

zaid-ibrahim

PETALING JAYA: Selepas dibidas PAS dan Isma kerana mempersoalkan tindakan polis menyamakan mereka yang mengkritik ulama sebagai menghina Islam, Datuk Zaid Ibrahim hari ini menjemput kedua-dua pertubuhan itu berbincang dengannya secara terbuka mengenai perbezaan agamawan dan orang politik yang menjual agama.

“Isma dan PAS boleh menjawab dan membahas isu ini secara terbuka. Inilah cara Islam yang sebenar dalam menyelesaikan perbezaan pendapat,” kata Zaid dalam penulisan di blognya.

Beliau mengulas reaksi Isma yang berkata Zaid “tidak pintar” kerana menganggap penghinaan terhadap pemimpin agama dan politik tidak sama dengan menghina Nabi Muhammad.

Ia susulan tindakan polis menangkap Sidek Kamiso, selepas bekas wartawan itu dituduh “menghina Islam” kerana kiriman Twitter berkenaan kematian Datuk Dr Haron Din, mursyidul am PAS yang meninggal dunia di Amerika Syarikat pada 16 September.

Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata Zaid perlu faham orang yang dihormati tidak boleh dihina.

“Dia (Zaid) peguam tapi tak nampak kepintarannya,” kata Abdullah

Sementara Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali berkata cara kritikan terhadap orang “soleh” perlu berbeza.

“Kritikan kepada orang yang soleh dan berilmu mestilah dengan ilmu juga dan lebih beradab berbanding kritikan kepada orang biasa yang kurang berilmu,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Zaid hari ini mempertahankan pendiriannya yang seseorang itu bukan kebal kritikan hanya kerana digelar “Tok Guru”.

“Orang politik mestilah bersedia menghadapi cara budaya politik negara dan mereka tidak boleh berselindung atau mengharap musuh memberi mereka ‘keistimewaan” atau “preferential treatment” kerana mereka dipanggil ulamak,” tulisnya.

Menurutnya, adalah penting orang ramai membezakan takrif “agamawan” sebagai golongan tulen yang menggunakan ilmu agama untuk mencari perdamaian, daripada mereka yang menggunakan Islam bagi tujuan politik.

“Tetapi takrif ‘agamawan’ tidak boleh digunakan untuk mereka yang berniaga agama atau bermain politik dengan menggunakan agama atau mencari kekayaan sebagai penghibur dengan menggunakan Islam.

“Orang seperti ini mencari makan menggunakan agama dan ia dilarang dalam Islam. Orang munafik misalnya hanya nampak Islam dari luar tetapi isi hati mereka penuh dengan kepalsuan.”

Beliau turut mengingatkan Isma yang penghinaan juga dilakukan oleh mereka yang dianggap “agamawan”, memberi contoh kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Adakah presiden Isma tidak pernah mendengar kenyataan ‘agamawan’ Hadi Awang terhadap Amanah, terhadap DAP dan terhadap Umno suatu masa dulu?

“Jadi, apakah orang lain tidak boleh menggunakan taktik yang sama terhadap ‘agamawan’ PAS? Apakah hanya PAS boleh berbuat demikian?” tanya bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

PAUTAN:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/21/agamawan-bukan-nabi-pas-isma-persoal-kepintaran-zaid-ibrahim/