Polis usir warga Bangladesh dalang serangan keganasan ke negara asal

ttrs_polis_600

PETALING JAYA: Warga Bangladesh yang ditahan polis Malaysia dipercayai sedang merancang serangan di negaranya, lapor International Business Times (IBT) memetik akhbar Singapore Straits Times.

Menurut sumber, suspek yang sering mengadakan pertemuan dengan rakan senegaranya di restoran miliknya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur terlibat dalam penyeludupan senjata api, AK-47 ke Bangladesh.

Suspek, 37, turut dilapor bertemu dengan pengganas, Andaleeb Ahmed yang terlibat dalam serangan Kafe Holey Artisan di Dhaka pada Julai lalu.

Serangan di Dhaka itu membunuh 22 orang.

Laporan IBT itu juga mendedahkan maklumat terkini tangkapan melibatkan pengganas oleh
Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Empat lelaki termasuk warga Bangladesh ditahan di antara 2 Ogos hingga 17 September lalu merupakan sebahagian daripada 240 pengganas yang ditahan sejak Februari 2013.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek utama, lelaki Bangladesh itu tersenarai dalam ‘notis merah’ Interpol dan ditangkap pada 19 Ogos lalu.

“Dia diusir ke negara asalnya pada 2 September lepas,” kata Khalid.

Tambahnya, seorang lagi suspek merupakan warganegara Nepal berusia 38 tahun yang mengendalikan pusat hiburan dan penginapan.

“Dia pula disyaki terlibat dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan untuk kegunaan pengganas antarabangsa.

“Suspek ditangkap pada 19 Ogos dan diusir ke negara asal juga pada 2 September,” katanya.

Kata Khalid, suspek ke-3 adalah warganegara Maghribi, berusia 26 tahun dan bekerja sebagai pengimpal besi.

“Suspek merupakan anggota kumpulan pengganas Islamic State (IS) yang pernah ditangkap oleh pihak berkuasa Turki pada awal Februari, dalam percubaannya menyusup masuk ke Syria.

“Suspek kemudian menyusup masuk ke Malaysia pada awal Mei dan berjaya dikesan dan ditahan oleh pihak polis pada 2 Ogos lalu.

Suspek katanya, juga dihantar pulang ke negara asalnya pada 21 September.

Kata Khalid lagi, suspek ke-4 merupakan warganegara tempatan yang bekerja sebagai pemandu peribadi.

“Suspek ke-4 berusia 34 tahun disyaki mempunyai hubungan dengan Muhamad Wandy Mohanad Jedy dan mempromosikan perjuangan kumpulan tersebut dalam laman facebooknya.

Pautan:

Letupan bom kedua di utara Bangladesh pada pagi Aidilfitri

Polis gagalkan cubaan serangan pengganas IS di ambang merdeka