Tarik balik saman 1MDB, Dr M gagal lagi, kata Salleh

salleh-keruak_mahathir_6001

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi gagal “menggulingkan demokrasi Malaysia” selepas laporan saman terhadap 1Malaysia Deveopment Berhad (1MDB) ditarik balik, kata menteri Umno.

Dalam satu kenyataan diblognya, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak juga menegaskan rancangan Dr Mahathir untuk mensabotaj 1MDB dan merosakkan ekonomi Malaysia bagi menyingkirkan kerajaan yang dipilih secara demokratik akan terus gagal.

Bekas Ketua Menteri Sabah berkata adalah lebih baik jika Dr Mahathir berundur secara hormat daripada terus mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Dr Mahathir tentu kecewa apabila setiap percubaannya untuk meruntuhkan demokrasi Malaysia gagal. Mereka akan terus gagal. Satu daripada kehebatan seseorang pemimpin sebenar ialah tahu bilakah beliau patut berundur secara diam-diam,” katanya.

Jelasnya lagi saman Matthias Chang dan bekas Naib Presiden PAS, Husam Musa yang difailkan di Amerika Syarikat (AS) terhadap 1MDB pada bulan Ogos mewakili “semua rakyat Malaysia” terhadap Red Granite dan prisipalnya Joey McFarland dan Riza Aziz, yang juga anak tiri Najib ditarik balik semalam.

Saman tersebut dibuat ekoran tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS pada 20 Julai yang menyatakan lebih AS$3.5 bilion dilencongkan daripada dana 1MDB yang diasaskan Najib pada 2009 selepas menjadi perdana menteri.

DoJ memfailkan saman sivil di Los Angeles untuk merampas AS$1 bilion aset yang dibeli dengan dana didakwa digelapkan dari 1MDB dan dipindahkan ke AS menggunakan syarikat kosong.

Hollywood Reporter memetik fail dokumen mahkamah semalam yang menyatakan kedua-dua pihak menolak saman secara sukarela.

Menurut saman itu, bekas setiausaha politik Dr Mahathir, Matthias dan Husam menuntut ganti rugi dan pemulangan harta serta aset lain yang didakwa dibeli menggunakan wang yang digelapkan daripada dana 1MDB milik kerajaan.

Saman itu menyatakan wang tersebut diperoleh melalui penawaran bon oleh 1MDB digunakan untuk Red Granite yang membiaya filem Wolf of Wall Street.

Salleh, yang juga bendahari Umno berkata saman yang difailkan di Amerika Syarikat terhadap 1MDB oleh kedua-dua mereka dibuat berasaskan dakwaan yang terkandung dalam aduan sivil DoJ, dan cerita palsu bertujuan memburuk-burukkan pihak tertentu yang disiarkan Wall Street Journal.

Beliau juga akui berasa aneh apabila Wall Street Journal mahupun media Barat lain tidak melaporkan saman itu ditolak semalam.

“Realitinya, ia memang tidak berasas sejak mula lagi, ia suatu langkah mencari publisiti untuk memanipulasikan persepsi orang ramai. Semua ini dilakukan atas sebab politik peribadi, yang semata-mata bertujuan untuk memberi manfaat kepada anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Red Granite diasaskan pada 2010 oleh Riza dan rakannya McFarland.