PAS tidak terdesak lantik Mursyidul Am PAS

Takiyuddin Hassan

PETALING JAYA: PAS tidak melihat sebarang keperluan terdesak dalam melantik Mursyidul Am PAS selepas penyandangnya, Datuk Dr Haron Din meninggal dunia.

Setiuasaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan Mursyidul Am dan timbalannya mestilah melalui Mesyuarat Majlis Syura Ulama, yang dianggotai 15 orang ahli.

Jawatan tersebut ketika ini disandang oleh pemangkunya iaitu Datuk Ahmad Yakob yang juga merupakan Timbalan Mursyidul Am PAS.

“Sekarang ni ada 14 orang dan mungkin akan dilantik seorang lagi. Mereka akan bermesyuarat, keputusan ini terpulang kepada majlis syura untuk melantik siapa dalam kalangan mereka.

“Tidak boleh orang luar dan pada masa ini, tiada keperluan mendesak sangat kerana pemangkunya sudah ada,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Sebelum ini, Ahmad menyatakan dirinya lebih selesa dengan jawatan sedia ada dan mencadangkan agar tokoh lain dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan itu berikutan kematian penyandangnya Haron Din.

Beliau yang juga Menteri Besar (MB) Kelantan menolaknya dengan alasan sibuk dengan pelbagai komitmen lain.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Syura Ulama PAS Datuk Mahfodz Mohamed menyatakan tindakan Ahmad menolak jawatan Mursyidul Am PAS bukanlah perkara baru kerana Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Dr Haron Din juga pernah berbuat demikian.

Katanya, sikap itu biasanya diambil kerana pemimpin itu mahu memikirkan tawaran secara mendalam sebelum membuat keputusan.

Baginya, Ahmad adalah calon terbaik untuk ketuai Majlis Syura Ulama.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/21/ahmad-tolak-jawatan-bukan-perkara-baru-nik-aziz-haron-din-juga-pernah-tolak/