Berdosa jika umat Islam elak mengundi, selar Nik Abduh

nik-abduh-undi-1

PETALING JAYA: Ketua Pemuda PAS menyifatkan perbuatan umat Islam sengaja mengabaikan tanggungjawab sebagai pengundi layak sebagai satu kesalahan dan dosa nyata.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kegagalan umat Islam mengundi boleh menyebabkan Malaysia jatuh ke tangan mereka yang tidak layak dan sesuai untuk memimpin negara.

“Kegagalan mengundi oleh seseorang Muslim boleh mengakibatkan amanah pemerintahan negara jatuh ke tangan mereka yang bukan ahlinya yang layak dan sesuai, maka tidak mengundi dengan sengaja adalah satu kesalahan dan dosa yang nyata.

“Oleh kerana melepaskan amanah pemerintahan kepada bukan ahlinya boleh mengakibatkan mudarat dan kezaliman ke atas orang awam yang ramai, maka dosa tidak mengundi akan menjadi lebih besar dan nyata,” tulisnya di Facebook beliau, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, seruan kepada rakyat Malaysia, khususnya umat Islam mendaftar sebagai pemilih adalah usaha amar makruf (mengajak kepada kebaikan).

“Di antara seruan yang salah dan tidak bertanggungjawab adalah seruan menolak kewajipan mengundi. Ia berpunca daripada kejahilan, kelalaian dan kedegilan yang nyata.

“Ia adalah seruan secara langsung bagi menyokong pemimpin yang korup dan zalim menguasai pemerintahan dengan lebih lama lagi,” tulisnya.

Sebelum ini, timbul spekulasi meramalkan Pilihan Raya Umum ke-14 akan diadakan pada Mac tahun depan. Bagaimanapun, ia disangkal Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Baru-baru ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dilaporkan berkata, Pakatan Harapan perlu mempertimbangkan pilihan raya awal di Selangor, susulan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di seluruh negara yang didakwanya bertujuan mengembalikan kuasa Umno, khususnya di Selangor.

Bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 19 September lalu berkata, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya awal di negeri itu, sebaliknya kerajaan negeri pimpinannya akan terus bekerja hingga tamat tempoh 5 tahun penggal pentadbiran.

Hari ini, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow juga berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak bercadang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membantah cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebaliknya mereka akan mengemukakan bantahan kepada SPR.

Pautan:

Tiada PRN di Pulau Pinang untuk bantah persempadanan semula