Gugur kandungan akibat Zika: Pandangan majlis fatwa tidak relevan

zika-virus

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada ibu mengandung yang dijangkiti virus Zika dibenarkan menggugurkan kandungan mereka perlu dibuat atas dasar perubatan, kata sebuah kumpulan sokongan wanita.

“Walaupun pandangan agama boleh mempengaruhi keputusan seseorang individu, ini adalah pilihan peribadi,” kata Bendahari Persatuan Peguam Wanita, Daniella Zulkifili dalam satu kenyataan hari ini.

Persatuan itu berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kementerian Kesihatan menunggu keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai isu ibu menggugurkan kandungan akibat dijangkiti virus Zika.

Pada 14 September lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam dilaporkan berkata, Kabinet mengarahkan kementeriannya membincangkan perkara itu dengan Majlis Fatwa Kebangsaan, bagi mendapatkan konsensus kebangsaan mengenai pengguguran bagi ibu dijangkiti Zika yang boleh menyebabkan bayi dijangkiti mikrocephali dan mengalami kecacatan.

Beliau berkata, sebaik sahaja konsensus kebangsaan dicapai, komponen saintifik dan kalangan pakar perubatan akan duduk berbincang dan mengeluarkan nasihat berdasarkan perbincangan itu.

“Pertama, tiada asas bagi kementerian itu berunding dengan majlis berkenaan kerana undang-undang tidak memerlukan pendapat daripada sebuah badan agama,” kata Daniella dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, risiko janin tidak normal dan komplikasi lain tidak hanya berlaku dalam kes jangkitan virus Zika dan ia tidak memerlukan pertimbangan khas.

Ketiga, katanya, sebarang keputusan majlis itu juga tidak mempunyai ‘legal standing’ kerana perkara berkaitan Islam tertakluk kepada undang-undang diri dan doktrin.

“Dalam apa jua keadaan, jika seorang wanita itu memilih meneruskan kehamilannya, penyedia penjagaan kesihatan perlu memberi sokongan dan membantu dalam penjagaan kanak-kanak itu,” katanya.

Daniella berkata, akses terhadap penjagaan kesihatan seksual dan pembiakan yang betul adalah hak dijamin di bawah Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang turut disahkan Malaysia.

Beliau berkata, hanya doktor boleh menentukan risiko jangkitan virus Zika dalam kehamilan seorang wanita dan langkah Kementerian Kesihatan itu disifatkan satu bentuk pelepasan tanggungjawab dan contoh tidak baik.

“Adalah penting untuk mengambil kira undang-undang dan hak reproduktif wanita bagi mencegah pengguguran tidak selamat,” katanya.

Pautan:

Zika: Kementerian Kesihatan, Majlis Fatwa akan bincang izin gugur kandungan