KUALA LUMPUR: Hospital Serdang mengaktifkan Pelan Darurat Bekalan Air bagi mengawal keadaan di hospital itu berikutan gangguan bekalan air sejak Jumaat lepas (23 September).
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, pelan yang mempunyai beberapa fasa itu dijalankan bagi memastikan perkhidmatan terhadap pesakit terutamanya kes kecemasan dapat diteruskan.
Beliau berkata hospital berkenaan masih memberi rawatan bagi kes-kes kecemasan yang kritikal.
“Antara langkah yang telah diambil termasuk merujuk pesakit-pesakit kes separa kecemasan ke hospital lain, menangguhkan kes elektif dan temu janji klinik pesakit luar sehingga bekalan air ke hospital pulih,” katanya.
Beliau berkata perkhidmatan berkenaan akan kembali disediakan secara berperingkat setelah bekalan air pulih sepenuhnya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata gangguan bekalan air di Hospital Kajang mulai lewat malam Khamis (22 September) tidak menjejaskan perkhidmatan kritikal di hospital itu.
Bagaimanapun, katanya bekalan air di hospital itu pulih sepenuhnya pada 26 September.
“Kerjasama, kesiapsiagaan dan pelan komunikasi yang jelas antara pihak bertanggungjawab mengenai perkara ini adalah amat penting bagi mengurangkan impak kepada pemberian rawatan kepada pesakit,” tambahnya.
Beliau berharap masalah bekalan air tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin dan isu itu dapat dielakkan daripada berlaku di masa hadapan.
Masalah gangguan bekalan air yang berlaku di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang ekoran penutupan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dari 22 hingga 24 Sept lepas, akibat pencemaran bau di Sungai Semenyih.