SUBANG JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak sepatutnya menggunakan alasan menaik taraf sistem pengebilan baharu untuk mengenakan caj tinggi kepada pelanggan.
Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zuhdi berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada pelanggan yang tidak menerima bil elektrik secara konsisten, tetapi tiba-tiba apabila bil sampai, cajnya sangat tinggi.
Sehubungan itu, katanya TNB perlu mengambil langkah proaktif dan lebih prihatin dengan tidak memotong bekalan elektrik pelanggan sepanjang proses menaik taraf itu berlangsung.
“Kami mendesak TNB membenarkan bayaran bil dibuat secara ansuran kerana rakyat tidak menerima bil daripada secara konsisten, tiba-tiba dapat jumlah tinggi.
“Kami juga minta TNB menyediakan rebat khas supaya mengurangkan keresahan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas tampil menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan tertinggi TNB Selangor di Subang Jaya hari ini.
Budiman berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan TNB dan syarikat itu memberi jaminan akan menyelesaikan isu menaik taraf dalam tempoh sebulan.
“Maklum balas TNB sangat positif, sekiranya isu ini tidak selesai dalam tempoh sebulan seperti dijanjikan saya akan membawa perkara ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, TNB dalam kenyataannya mengakui proses menaikkan taraf sistem pengebilan 8.5 juta pelanggan itu menimbulkan beberapa isu kerana ia melibatkan penghijrahan data yang besar.
Menurut TNB, pelanggan yang belum menerima bil pada Julai dan Ogos 2016 tidak akan dikenakan penalti bayaran lewat, malah turut memberi jaminan bekalan elektrik tidak akan dipotong.
“TNB juga sedang mengambil segala langkah yang perlu bagi menangani cabaran itu dan akan menyelesaikannya menjelang akhir November 2016,” katanya.
Ramai pelanggan mula merungut dan tidak berpuas hati dengan TNB apabila caj yang diterima terlalu tinggi sejak proses menaik taraf sistem pengebilan pada 21 Julai 2016 dilaksanakan.