Tweet politik saya tak laku, kata Najib

najib-twitter

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Twitternya akan mendapat sambutan lebih meriah apabila bercakap mengenai sukan berbanding jika beliau tweet tentang politik.

“Setiap kali saya tweet tentang bidang sukan, saya dapat respons yang berlipat ganda.

“Kalau saya tweet politik, kurang dapat sambutan. Ini bermakna sukan ialah bidang popular, dekat di hati rakyat kita,” katanya pada Majlis Penghargaan Wira dan Wirawati Olimpik dan Paralimpik Rio 2016 di PWTC di sini hari ini.

Pada kejohanan Olimpik Rio baru-baru ini, Malaysia berjaya membawa pulang 4 pingat perak dan 1 gangsa manakala bagi Paralimpik, 3 emas dan 1 gangsa.

Malah, katanya sukan juga boleh menaikkan mood semangat negara dan dijadikan satu bidang yang popular dalam kalangan masyarakat.

Najib yang juga presiden Umno berkata semua pihak seharusnya terus memberi penghargaan kepada mereka kerana pencapaian yang luar biasa.

“Mereka itu dijadikan iktibar, rangsangan dan inspirasi kepada kita. Bukan hanya sebagai ahli sukan.

“Tetapi kualitinya, nilai, peranan, dedikasi, fokus dan komitmennya, kalau mereka boleh berjaya dalam sukan, mereka juga boleh berjaya dalam politik dan semua lapangan.

“Saya mahu kejayaan mereka sebagai batu loncatan untuk kita raih lebih kejayaan dalam sukan,” katanya.