6 kes baru positif Rotavirus di Pulau Pinang

Rotavirus1

GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang hari ini mengesahkan 6 kes positif jangkitan Rotavirus membabitkan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr M. Sukumar berkata kesemua kanak-kanak yang dilaporkan positif virus tersebut adalah di antara umur satu hingga 8 tahun.

“Tiga kes dilaporkan di Hospital Bukit Mertajam, 2 kes di Hospital Balik Pulau dan 1 kes di Hospital swasta dari tarikh 27 hingga 30 Sept,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa dimasukkan ke hospital selepas mempunyai simptom seperti muntah-muntah dan cirit-birit.

Namun, Sukumar yang sedang berada di luar negeri berkata kesemua mangsa kini dalam keadaan stabil dan sedang dirawat oleh doktor.

Rotavirus adalah sejenis virus yang menyebabkan jangkitan perut dan usus dan sering menyerang kanak-kanak terutamanya yang berumur 5 tahun ke bawah dengan gejala seperti cirit-birit, muntah, demam dan sakit perut.