Lembaga Pengampunan digesa segerakan keputusan hukuman mati

Ahmad Najib ArisKUALA LUMPUR: Peguam dan ahli Parlimen menggesa Lembaga Pengampunan mengenakan had masa sama ada untuk membenarkan petisyen pengampunan daripada mereka yang dihukum mati.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, adalah tidak adil membiarkan banduan berkenaan merana menunggu hukuman mati selepas rayuan undang-undang mereka.

“Ia tidak berperikemanusiaan meletakkan mereka dalam satu situasi yang tidak pasti kerana mereka mempunyai hak untuk mendapatkan pengampunan dan membawa kepastian kepada kehidupan mereka,” katanya kepada FMT.

Ramkarpal, peguam yang pakar dengan kes jenayah itu berkata, keadaan itu juga secara fizikal dan mental menjejaskan ahli keluarga banduan.

“Saya berharap Lembaga Pengampunan di setiap negeri akan mempunyai tempoh tertentu dalam memutuskan sama ada untuk meluluskan petisyen pengampunan,” katanya.

Pada masa ini tiada had masa bagi lembaga untuk melupuskan petisyen itu.

Peguam negara akan menasihatkan ketua negara dalam proses membuat keputusan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas bekas pekerja kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris yang dihukum gantung sampai mati pada 23 September ini kerana membunuh penganalisis IT Canny Ong Lay Kian pada 2003 di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya.

Perbicaraan yang pernah menjadi tajuk utama media itu menggemparkan negara dengan segala butiran ngeri penculikan, rogol, pembunuhan dan mayat Ong yang dicampak sebelum dibakar.

Ujian DNA mengesahkan terdapat air mani Najib dalam faraj Ong yang membuktikan beliau melakukan hubungan seks dengan si mati.

Pada 2005, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapatinya bersalah kerana membunuh dan merogol Ong, yang ketika itu berusia 28.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi jenayah seksual.

Pada 2008, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman dan kesalahan.

Pada tahun berikutnya, Najib gagal mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mengkaji semula sabitan dan hukuman mati terhadap beliau, mengatakan tidak ada ketidakadilan berlaku.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Najib dalam prosiding mahkamah, berkata beliau difahamkan pihak penjara membantu banduan memfailkan petisyen bagi pengampunan kepada Sultan Selangor.

“Beliau dapat berhubung dengan peguam saya yang menyediakan dokumen untuk memfailkan petisyen itu,” katanya.

Haniff percaya hukuman itu ditangguhkan kerana kerajaan mengenakan moratorium tidak rasmi sementara menunggu keputusan sama ada untuk memansuhkan hukuman mati terhadap pengedar dadah.

“Saya dimaklumkan penangguhan hukuman ketika itu juga diperluaskan kepada mereka yang berhadapan dengan hukuman mati,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri pada Mac berkata Malaysia melaksanakan hukuman terhadap 12 daripada 829 orang yang dihukum mati sejak 2010.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo, kementerian itu berkata 95 orang menerima sama ada pengampunan diraja atau hukuman mati diringankan.

Hukuman itu dijatuhkan kerana kesalahan membunuh, mengedar dadah, penyeludupan senjata api, dan juga penculikan, kata kementerian itu.